EKONOMI

Forum Media Belt And Road 2025 Bermula Hari Ini Di Kunming

16/09/2025 09:48 PM

Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail

KUNMING (CHINA), 16 Sept (Bernama) -- Forum Kerjasama Media Belt and Road 2025 bermula hari ini, menghimpunkan lebih 200 wakil daripada 87 negara, pertubuhan antarabangsa dan serantau, serta 165 agensi media dan institusi dari seluruh dunia.

Bertemakan “Shared Media Responsibility for Exchanges and Mutual Learning among Civilisations”, forum ini menampilkan ucapan yang disampaikan tetamu kehormat, ucaptama serta pelancaran Innovation and Practice in Developing Green Belt and Road.

Acara yang berlangsung di Kunming, Wilayah Yunnan di barat daya China itu dianjurkan bersama oleh People's Daily, Jawatankuasa Communist Party of China (CPC) Wilayah Yunnan dan Kerajaan Rakyat Wilayah Yunnan.

Antara lapan tokoh yang menyampaikan ucapan pembukaan ialah Naib Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan, Zheng Jianbang; Presiden People's Daily China, Yu Shaoliang; Timbalan Menteri Pengangkutan China, Li Yang; serta Ketua Pengarang People's Daily, Chen Jianwen.

Sebahagian besar penceramah menekankan liputan media yang semakin meluas mengenai kejayaan Inisiatif Belt and Road (BRI) oleh institusi media di seluruh dunia.

Mereka turut menegaskan bahawa media harus berperanan sebagai pencatat dan pencerita pencapaian pembangunan, terus melaporkan mengenai kerjasama BRI serta membantu membina momentum yang lebih meluas bagi mencapai hasil kerjasama yang saling memberi manfaat.

Media juga digalakkan untuk terlibat dalam usaha memupuk pembelajaran bersama antara tamadun, menghasilkan karya berkualiti bagi meningkatkan kefahaman, merapatkan jurang, mendekatkan masyarakat serta memperkukuh asas komuniti dengan masa depan bersama demi kemanusiaan.

Kemuncak acara hari ini ialah pengumuman Anugerah Berita Global Laluan Sutera kedua.

Anugerah itu merangkumi empat kategori, Laporan Terbaik, Fotografi Terbaik, Video Terbaik dan Inovasi Terbaik, dianjurkan oleh Belt and Road News Network (BRNN) Council serta dikendalikan oleh People's Daily.

Ia menerima hampir 5,000 penyertaan daripada 110 negara dan wilayah sejak dibuka pada April 2024.

Sebanyak 58 karya dari 37 negara diiktiraf, meliputi empat hadiah utama, 16 pencalonan dan 38 anugerah peringkat akhir.

Anugerah Berita Global Laluan Sutera merupakan acara utama BRNN dan satu-satunya anugerah kewartawanan antarabangsa dalam kerangka kerjasama pelbagai hala BRI.

Selepas forum, wakil media antarabangsa dan tempatan akan melaksanakan aktiviti liputan bersama di Yunnan serta beberapa wilayah lain, wilayah autonomi dan perbandaran di seluruh China.

Forum Kerjasama Media Belt and Road Jalur telah diadakan sebanyak sembilan kali sejak diperkenalkan pada 2014.

Ia berjaya menarik lebih 1,000 wakil media global serta pertubuhan antarabangsa dan serantau daripada lebih 100 negara dan wilayah, sekali gus membina konsensus dan momentum meluas bagi memperkukuh kerjasama BRI berkualiti tinggi.

Pada 17 September, Forum Kerjasama Media 10+3 pula dijadual berlangsung dengan tema “Increase Inter-connectivity for Common Development and Shared Benefits”.

Program itu merangkumi ucaptama serta sesi perbincangan panel bertajuk “Foster New Growth Drivers and Share New Development Opportunities” dan “Build Consensus and Enhance People-to-People Bonds in East Asia".

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan