AM

Jemaah Menteri Seru Rakyat Perkukuh Perpaduan Sempena Hari Malaysia 2025

16/09/2025 01:13 PM

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Pemimpin negara menyeru rakyat Malaysia untuk terus mempertahankan keharmonian dan perpaduan sempena sambutan Hari Malaysia 2025 dan menekankan  perpaduan ialah harta paling berharga yang semestinya diwariskan kepada generasi akan datang.

Seruan itu disuarakan beberapa pemimpin negara menerusi hantaran di laman Facebook masing-masing hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kepelbagaian budaya, agama dan bangsa khazanah berharga yang menjadikan Malaysia unik di mata dunia.

“Dengan tema ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’, kita diingatkan bahawa kekuatan negara ini bukan sahaja pada pembangunan dan kemajuan tetapi pada kasih sayang dan kepedulian antara satu sama lain,” katanya. 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pula berkata perpaduan menjadi tunjang kekuatan negara sejak lebih enam dekad lepas, malah keamanan yang dinikmati hari ini hasil pengorbanan rakyat.

“Perpaduanlah yang membolehkan kita segulai sejalai (seiring sejalan) dalam menempuh cabaran, membina kemajuan serta mengangkat martabat Malaysia di persada dunia.

“Sempena Hari Malaysia 2025 marilah kita memperbaharui tekad untuk terus memelihara perpaduan, menolak politik kebencian dan mempertahankan kestabilan negara,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil turut mengajak orang ramai memeriahkan sambutan rasmi Hari Malaysia di Butterworth malam ini sambil menekankan bahawa perpaduan ialah harta paling berharga yang mesti diwariskan kepada generasi akan datang.

“Sama-sama kita raikan semangat perpaduan, kebebasan, dan cinta akan tanah air,” kata Fahmi dalam hantaran di Facebook. 

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyifatkan Hari Malaysia sebagai simbol kesepaduan, federalism (federalisme) dan perpaduan rakyat di seluruh negara.

“Marilah kita semua menjaga keamanan dan perpaduan yang dimiliki demi kesejahteraan negara Malaysia bersama. Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat Malaysia! Semoga negara ini sentiasa diberkati, maju dan sejahtera untuk generasi akan datang,” katanya. 

Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pula menekankan bahawa akses kepada perkhidmatan kesihatan sejagat adalah asas perpaduan sebenar rakyat, manakala Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyifatkan pindaan undang-undang pendidikan bagi mewajibkan persekolahan menengah sebagai hadiah Hari Malaysia untuk anak-anak di negara ini. 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan bahawa Malaysia lahir daripada sebuah ikrar untuk bersatu dalam perbezaan, manakala Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang menegaskan harmoni serta persatuan asas kekuatan negara dalam menghadapi cabaran global.

Turut menyampaikan ucapan ialah Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa serta Menteri Digital Gobind Singh Deo yang sama-sama menzahirkan komitmen untuk menjadikan Malaysia terus progresif, inklusif dan berdaya saing di pentas dunia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan