AM

SAR Pemandu Jentera Pengorek Dihempap Bongkah Batu Diteruskan Hari Ini

15/09/2025 12:23 PM

KUANTAN, 15 Sept (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pemandu jentera pengorek yang dilaporkan tertimbus dalam kejadian runtuhan bongkah batu di tapak kuari di Raub memasuki hari ketiga, dengan kawasan pencarian diperluas. 

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Salahuddin Isa berkata operasi SAR  bermula kira-kira 7.50 pagi selepas ditangguhkan pada 7 malam semalam.

Beliau berkata operasi hari ini turut melibatkan seekor anjing pengesan, iaitu Denti selain dibantu pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang menggunakan peralatan bagi mengesan pergerakan struktur. 

“Cabaran utama pasukan SAR adalah untuk mengalihkan batu-batu besar selain tanah dan batu tidak stabil di kawasan itu, meningkatkan risiko runtuhan semasa operasi,” katanya ketika dihubungi Bernama. 

Lebih 30 anggota daripada pelbagai agensi antaranya JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan APM terlibat dalam operasi pagi ini. 

Dalam kejadian 12.50 tengah hari Sabtu lepas, Mohammad Fazrul Illahi Ab Rahman, 30, dilaporkan  dihempap runtuhan bongkah batu ketika sedang mengendalikan jentera pengorek.  

Mangsa dipercayai sempat melompat keluar daripada jentera sebelum dihempap, manakala tiga pekerja warga asing turut dilaporkan cedera.  

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan