SUKAN

JMR Raih Dua Podium Di Suzuka 1000

15/09/2025 10:42 AM

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Pasukan Johor Motorsports Racing (JMR) meraikan kejayaan berganda selepas meraih tempat ketiga keseluruhan dan ketiga dalam kategori Pro-Am pada perlumbaan ketahanan Suzuka 1000 di Jepun, semalam.

Barisan pemandu Pro terdiri daripada pemandu Belanda Nicky Catsburg, warga New Zealand Scott McLaughlin dan pemandu England Alexander Sims menampilkan aksi hampir sempurna untuk menamatkan saingan di tempat ketiga dengan jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R #2.

Dalam kategori Pro-Am, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj serta pemandu Finland Konsta Lappalainen menunjukkan pemanduan konsisten untuk turut menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan Corvette #99.

“Saya sangat berbangga dengan keseluruhan pasukan. Ia hujung minggu yang mencabar dengan keadaan cuaca tidak menentu serta perlumbaan yang sukar, tetapi semua melakukan tugas yang menakjubkan. Ini adalah pusingan ketiga saya bersama abang berlumba dan kali pertama kami meraih podium bersama dalam Intercontinental Challenge. Ia detik membanggakan dan abang saya melakukan kerja hebat sepanjang hujung minggu.

“Dari mekanik, jurulatih sehinggalah semua yang terlibat, saya amat berbangga dengan pencapaian ini. Ini baru permulaan, hanya sebahagian kecil daripada perancangan besar kami. Perjalanan baharu ini pasti menjanjikan lebih banyak momen menarik,” kata Tunku Abdul Rahman dalam kenyataan JMR hari ini.

Tunku Abu Bakar menyifatkan kejayaan tempat ketiga dalam kategori Pro-Am, selain podium keseluruhan kereta rakan sepasukan, sebagai pencapaian membanggakan buat JMR.

“Semua melakukan kerja hebat hujung minggu ini - setiap hentian pit berjalan lancar dan kami tidak boleh meminta lebih lagi. Ini perlumbaan pertama dalam beberapa tahun saya bergandingan dengan abang; ia podium pertama kami bersama sejak 2019 dan podium pertama saya dalam perlumbaan ketahanan. Ia benar-benar hujung minggu yang baik,” katanya.

Sementara itu, Catsburg berkata: “Saya sangat bangga dengan cara kami berlumba hari ini dan saya berharap dapat menyertai lebih banyak perlumbaan bersama JMR pada masa depan.”

Suzuka 1000 edisi 2025 kembali dalam kalendar SRO Intercontinental GT Challenge selepas berehat selama lima tahun.

Sebanyak 33 jentera GT3 dan GTA-GT300 berentap dalam perlumbaan itu dengan 27 berjaya menamatkan saingan penuh.

Pasukan JMR kini memberi tumpuan kepada dua pusingan terakhir GT World Challenge Asia yang akan berlangsung di litar jalan raya baharu di Beijing pada 17-19 Okt ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan