SUKAN

Qabil Irfan Juara ESBK Talent 2025

14/09/2025 08:33 PM

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Pelumba muda negara Qabil Irfan Azlan mengesahkan gelaran juara lebih awal selepas mendominasi perlumbaan 2 ESBK Talent pusingan keenam Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2025 di Litar Estoril, Portugal, hari ini.

Pelumba Frando Racing VHC Team Liqui Moly yang menjuarai perlumbaan 1 semalam, sekali lagi menampilkan corak perlumbaan cemerlang untuk menewaskan dua pelumba Sepanyol, Oliver Cantos dengan kelebihan 2.755 saat dan Iza Rodriguez yang menduduki tempat ketiga.

Qabil Irfan dinobatkan sebagai juara keseluruhan musim ini dengan mengumpul 252 mata, meninggalkan pencabar terdekat dari Switzerland Alessio Arnold yang mengutip 191 mata.

Pelumba kelahiran Terengganu itu dijadualkan menamatkan baki satu lagi pusingan perlumbaan di Jerez, Sepanyol pada November.

Sementara itu, seorang lagi pelumba muda negara Muhammad Hakim Danish Ramli menamatkan saingan Red Bull Rookies Cup (RBRC) 2025 di kedudukan ketiga selepas menduduki posisi ke-10 pada perlumbaan 2 pusingan ketujuh di Litar Misano, Itali.

Brian Uriarte dari Sepanyol merangkul kejuaraan selepas mengumpul 236 mata, diikuti Veda Pratama dari Indonesia (181 mata) dan Muhammad Hakim ketiga dengan 171 mata.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan