AM

Diiktiraf UNESCO Global Geopark, Perak Pelawa MOTAC Tinjau Kemudahan Di Lenggong

14/09/2025 07:15 PM

PASIR SALAK, 14 Sept (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dipelawa meninjau kemudahan pelancongan di Lenggong susulan pengiktirafan Lenggong Geopark sebagai UNESCO Global Geopark (UGGp).

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata ini terutama bagi membina lebih banyak kemudahan penginapan di Lenggong untuk keselesaan pengunjung ke daerah itu yang kini tertumpu di chalet di Tasik Raban dan beberapa buah inap desa.

Beliau berkata statistik Majlis Daerah Lenggong menunjukkan jumlah pendapatan peniaga telah meningkat berikutan pertambahan pengunjung  dan jika ada penginapan yang mencukupi, pastinya keuntungan diterima mereka akan jauh lebih baik.

"Sebab itu, kita (kerajaan negeri) nak ajak MOTAC pergi tengok (Lenggong) apa kita boleh buat supaya bukan setakat orang datang 'singgah dan pergi', tetapi datang menginap," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Program Warisan @Pasir Salak 2025 dekat sini hari ini.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee memaklumkan Kerajaan Perak menyifatkan pengiktirafan Lenggong sebagai UGGp satu kejayaan besar bagi memperkukuh kedudukan negeri berkenaan dalam peta pelancongan dunia.

Sementara itu, Saarani berkata pengisytiharan rasmi Lenggong Geopark sebagai UGGp dijangka diadakan pada tahun hadapan dan diharap dengan pengisytiharan itu, Lenggong akan menjadi destinasi pelancongan hebat di peta dunia, bukan sahaja kerana Perak Man tetapi kerana pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Beliau berkata masyarakat di Lenggong turut perlu menjaga keindahan kawasan itu dengan sebaiknya supaya nilai daerah itu tidak susut yang boleh menyebabkan UNESCO menarik balik pengiktirafan.

Sementara itu, Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata kementerian itu akan terus membantu kerajaan negeri untuk mempromosikan Lenggong sebagai antara destinasi pelancongan di Malaysia.

"Kita juga bantu untuk meningkatkan, menambah baik dan menaik taraf kemudahan-kemudahan pelancongan yang ada di kawasan Lenggong," katanya.

Berkenaan program hari ini, Shaharuddin dalam ucapannya berkata pelbagai acara dan pengisian telah diadakan sepanjang tiga hari program itu yang bermula 12 Sept, antaranya Bicara Warisan, Pasir Salak Berselawat dan Bicara Dabus, selain Program Jualan Rahmah.

Beliau berkata pelaksanaan program itu juga secara tidak langsung dapat memperkenalkan sejarah dan warisan yang terdapat di kawasan Pasir Salak dan Perak, khususnya kepada semua pengunjung yang hadir sepanjang program berkenaan berlangsung.

Bersempena Tahun Melawat Malaysia (VMM2026) pula, Shaharuddin berkata MOTAC akan melipatgandakan usaha dan program ke arah mempromosikan sejarah serta khazanah warisan budaya negara yang menjadi aset penting dalam memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dunia. 

"Kita mahu pelancong yang datang bukan sahaja menikmati keindahan alam semula jadi, tetapi juga menghayati kekayaan budaya dan warisan yang terdapat di negara kita termasuk yang ada di negeri Perak," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan