KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Skuad hoki wanita kebangsaan bangkit daripada ketinggalan untuk mengekalkan kedudukan kelima buat kali keenam berturut-turut selepas membelasah Singapura 8-1 dalam aksi klasifikasi tempat kelima dan keenam Piala Asia Wanita 2025 di Hangzhou, China, hari ini.
Dua tonggak negara Nur Afiqah Syahzani Azhar dan Nuramirah Shakirah Zulkifli mencuri tumpuan apabila masing-masing meledak dua gol dalam perlawanan berkenaan di Gongshu Canal Sports Park.
Skuad bimbingan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim dikejutkan dengan jaringan awal lawan menerusi pukulan sudut penalti oleh Cheryll Chia pada minit keempat, sebelum Nur Afiqah menyamakan kedudukan pada minit ke-18.
Malaysia kemudian mendahului hasil jaringan pukulan sudut penalti oleh Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad pada minit ke-32, sebelum dua penalti strok disempurnakan Anith Humaira Baharudin (minit ke-38) dan Nuramirah (minit ke-39) untuk menjadikan kedudukan 4-1.
‘Speedy Tigress’ terus menambah derita Singapura menerusi jaringan padang Nur Iman Adawiyah Mohd Suhaimi pada minit ke-45, disusuli gol kedua peribadi Nuramirah seminit kemudian.
Malaysia terus garang di suku keempat apabila menambah dua lagi gol dalam tempoh seminit menerusi Nur Afiqah (minit ke-51) dan Nur Aisyah Che Musa (minit ke-52) untuk melengkapkan kemenangan bergaya 8-1.
Mengulas aksi itu, Mohd Nasihin mengakui anak buahnya beraksi longlai pada dua suku pertama, namun memuji kebangkitan mereka yang meledak enam gol pada suku ketiga dan keempat.
Banyak perkara perlu diperbaiki khususnya dari segi kecergasan, kekuatan dan teknikal. Saya juga menegaskan kepada pemain supaya memberi komitmen penuh dalam latihan selepas ini — tiada lagi rungutan, hanya fokus untuk pergi lebih jauh,” katanya menerusi rakaman video dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) kepada media.
Malaysia sebelum ini gagal mara ke pusingan ‘Super 4s’ selepas menamatkan saingan Kumpulan A di tangga ketiga dengan tiga mata, sekali gus terpaksa beraksi dalam penentuan tempat kelima hingga kelapan.
Pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah kejohanan ini ialah tempat ketiga pada edisi sulung di Seoul, Korea Selatan pada 1985.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial