KOTA KINABALU, 14 Sept (Bernama) -- Sabah cukup bertuah kerana memiliki Taman Botani Nikel yang pertama di dunia terletak di Substesen Monggis, Ranau kira-kira 150 kilometer dari Kota Kinabalu.
Ketua Projek Kebun Hiperakumulator Taman-Taman Sabah Sukaibin Sumail yang berkongsi dengan Bernama berkata taman berkeluasan satu hektar itu juga adalah kawasan Taman Kinabalu dan Tapak Warisan Dunia.
Beliau berkata taman itu menempatkan 12 spesies tumbuhan hiperpenumpukan nikel yang jarang ditemukan di Sabah dan dunia antaranya Phyllanthus rufuschaneyi, Phyllanthus balgooyi dan Actephila alanbakeri.
Tumbuhan lain seperti Rinorea bengalensis, Walsura pinnata, Mischocarpus sundaicus, Phyllanthus kinabaluicus, Psychotria sarmentosa, Xylosma luzonensis, Glochidion sp, Glochidion sp 2 dan Rinorea cf. javanica.
“Ada dua cara untuk menguji kehadiran logam pada daun tumbuhan ini iaitu dengan menggunakan kertas pengesan yang mengandungi bahan kimia Dimethylglyoxime (DMG) dan mesin pegang tangan penganalisis pendarfluor sinar X,” katanya.
Hiperpenumpukan merujuk kepada keupayaan semula jadi yang ada dalam tumbuhan untuk menyerap bahan-bahan di dalam tanah antaranya unsur logam seperti Nikel yang boleh menjadi bahan amat beracun seperti Nikel tetrakarbonil.
Nikel adalah unsur logam berwarna putih keperakan dan keras, satu daripada unsur paling banyak terdapat dalam kerak bumi dan terasnya selain ditemukan secara meluas dalam meteorit serta turut digunakan untuk membuat aloi seperti keluli tahan karat dan dalam bateri kenderaan elektrik.
Taman Botani Nikel itu mula dibuka secara rasmi pada 14 Jun 2014, dijadikan sebagai arboretum iaitu kawasan yang ditanam dan dikumpul pelbagai spesies pokok untuk tujuan penyelidikan saintifik, pemuliharaan, pendidikan dan rekreasi sebelum pokok-pokok berkenaan didokumentasikan.
Mengambil contoh tumbuhan Xylosma Luzonensis, Sukaibin berkata tumbuhan itu akan membesar setinggi 3 meter dan ditanam di kawasan tanah lapang yang terdedah kepada cahaya matahari, namun setakat ini belum ada data saintifik yang menyokong potensi tumbuhan berkenaan dalam bidang farmasi.
“Untuk botani, tumbuhan ini berpotensi dijadikan sebagai tumbuhan hiasan landskap terutamanya di kawasan tanah ultramafik selain mengawal hakisan tanah,” katanya, sambil menjelaskan Taman-Taman Sabah telah memulakan langkah bagi memperkenalkan tumbuhan berkenaan kepada pelajar sekolah melalui program kesedaran alam semula jadi di taman itu sejak tahun lepas.
Sukaibin berkata ketika ini kajian secara terperinci masih belum dijalankan, namun tumbuhan berkenaan boleh menyerap kandungan nikel sama ada secara semula jadi atau sebaliknya.
Beliau berkata secara amnya tumbuhan itu mengandungi kompaun kimia seperti falvonoids dan terpenoids, bagaimanapun kehadiran nikel boleh mendatangkan kemudaratan kepada hidupan khususnya manusia serta haiwan.
Menurut Sukaibin, pokok Xylosma luzonensis mempunyai bunga, berbulu halus dan didebungakan melalui tiupan angin itu belum dikategorikan sebagai tumbuhan yang akan pupus, namun langkah pemuliharaannya telah dijalankan di Substesen Monggis sebagai arboretum.
“Pokok ini mudah tumbuh dan mampu mengawal hakisan tanah, tidak sesuai digunakan dalam perubatan manakala dari segi ekonomi, tumbuhan ini belum lagi dikaji secara terperinci sama ada memberi impak kepada pendapatan,” katanya, yang juga memaklumkan usaha penanaman tumbuhan itu turut melibatkan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Pada Julai lepas, satu daripada tumbuhan di taman berkenaan iaitu Xylosma Luzonensis daripada famili Salicaceae telah dibawa dan dipamerkan pada Festival Flora Borneo 2025 di Labuan dan penulis berpeluang membuat uji kaji kehadiran nikel pada daun tumbuhan berkenaan.
Sukaibin yang turut berada di ruang pameran festival itu menunjukkan bagaimana melihat kehadiran nikel pada daun tumbuhan berkenaan menggunakan kertas khas yang dicalitkan dengan air.
Selepas beberapa saat, daun yang dilipat dalam kertas itu akan bertukar warna kepada warna merah jambu yang menunjukkan kehadiran bahan nikel pada daun berkenaan, yang berbentuk bujur dan bunganya berbulu halus.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial