SARIKEI, 13 Sept (Bernama) -- Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim menyifatkan golongan belia di Sarawak mempunyai harapan tinggi serta pemikiran matang dalam menangani isu semasa yang melangkaui kepentingan peribadi.
Beliau berkata perkara itu dilihat pada sesi dialog awam bersama belia sempena Program Kembara Jumpa Orang Muda (Kembara JOM) 2.0 Zon Borneo 2 di Rumah Panjang Kanyan, Nyalak Ladong, Pakan hari ini.
“Mereka (belia) tidak lagi hanya memikirkan masalah sendiri tetapi sudah mula memikirkan masalah persekitaran. Ini petanda baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program itu.
Adam Adli berkata kajian Indeks Belia oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) menunjukkan belia Sarawak mencatatkan skor tertinggi dalam aspek kesihatan mental dan fizikal dengan pencapaian kira-kira 70 peratus, sekali gus meletakkan penanda aras baik berbanding negeri lain.
“Dengan skor setinggi itu, mereka berada dalam situasi yang mampu melonjak ke hadapan serta berperanan membangunkan masyarakat kerana ekosistem ketika ini cukup kondusif untuk mereka,” katanya.
Sementara itu, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata persoalan dibangkitkan belia pada sesi itu menunjukkan mereka semakin prihatin terhadap isu masyarakat.
Beliau berkata kebanyakan persoalan berkisar kepada masalah dadah, kepimpinan dan pembangunan komuniti, mencerminkan sikap belia tidak lagi mementingkan diri sendiri serta kesediaan belia Sarawak memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat.
“Soalan daripada belia menunjukkan mereka tidak mementingkan diri. Banyak bertanya mengenai masalah dadah, kepimpinan dan pembangunan masyarakat. Ini jelas menunjukkan keprihatinan mereka terhadap masyarakat, negeri dan negara meningkat berbanding sebelum ini,” katanya.
Program Kembara JOM 2.0 Zon Borneo 2 berlangsung tiga hari bermula Khamis menghimpunkan 900 belia daripada pelbagai komuniti.
Zon ini merupakan siri ketiga daripada enam zon pelaksanaan Kembara JOM 2.0 yang diadakan dari Julai hingga November ini.
Penganjuran program dilaksanakan Jabatan Belia dan Sukan Sarawak dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Sarawak serta Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS).
Antara pengisian utama ialah sesi dialog awam dengan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, program anak angkat, kesukarelawanan, rentas budaya, kepimpinan belia, keusahawanan sosial dan advokasi Nilai Teras Malaysia MADANI.
Selain itu, Kembara JOM turut menjadi platform pemprofilan belia luar bandar, galakan penubuhan persatuan baharu dan kajian sosioekonomi belia setempat yang akan menjadi asas penting dalam merangka dasar serta strategi pembangunan belia negara.
Antara aktiviti sampingan diadakan ialah gotong-royong komuniti, penyerahan peralatan sukan, perkhidmatan kesihatan, pameran agensi kerajaan dan Sukan Perpaduan MADANI.
Selain itu, aktiviti tradisi “JOM Begiga Ngau Bala Raban Rumah Panjai (Menjala)” serta “JOM Futsal Bersama Belia” memberi ruang interaksi santai dan kebersamaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial