ALOR GAJAH, 13 Sept (Bernama) -- Tiada sebarang pembangunan struktur kekal atau sementara termasuk melibatkan aktiviti pelancongan dibenarkan di kawasan rizab tambakan pantai sepanjang empat kilometer bermula dari muara Sungai Ayer Hitam sehingga Kuala Sungai Tuang, Tanjung Bidara di sini.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata arahan itu dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri kerana struktur tanah projek tambakan baharu sejauh 50 meter dari kawasan asal pantai itu belum dikenal pasti kekuatannya bagi sebarang pembangunan aktiviti berkenaan.
Beliau berkata kawasan tambakan baharu yang juga sebahagian projek pengawalan hakisan pantai berjumlah RM21.56 juta di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri itu akan menjadi tanah milik kerajaan negeri.
"Projek tambakan baharu di sepanjang Pantai Tanjung Bidara ini sedang dilakukan dan dijangka selesai pada September tahun hadapan.
"Jadi tiada sebarang pembangunan dibenarkan atas tanah rizab tersebut sehingga satu tarikh yang akan diberitahu kelak," katanya kepada pemberita di sini selepas melakukan lawatan kerja di Kawasan Rizab Pantai Tanjung Bidara di sini hari ini.
Dalam lawatan itu, beliau meluangkan masa lebih sejam meninjau situasi hakisan dan kerja-kerja tambakan di sepanjang Tanjung Bidara, yang turut dihadiri Pengarah PTG negeri Datuk Noraini Tawel dan Pengarah JPS negeri Mohd Adnan Ahmad Fauzi.
Sementara itu, Ab Rauf berkata sebanyak 14 aset persendirian atau komersial antaranya chalet dan inap desa di sepanjang Pantai Padang Kemunting, Pengkalan Balak, Tanjung Bidara, Tanjung Bidara dan Sungai Tuang dikesan didirikan atas tanah simpanan kerajaan negeri.
Untuk itu, beliau menyarankan pemilik aset berkenaan membuat permohonan kepada kerajaan negeri untuk mempertimbangkan tanah terlibat diberikan status pemilikan sementara.
"Kerajaan negeri tidak akan berkompromi kepada mana-mana pihak yang menggunakan tanah kerajaan tanpa kelulusan pihak berkuasa negeri dan tindakan penguatkuasaan akan diambil di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.
"Saya nasihatkan, segala bentuk kependudukan atas tanah kerajaan perlulah melalui prosedur yang betul, iaitu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa mengikut garis panduan yang ditetapkan," katanya.
Beliau berkata tindakan itu bukanlah untuk menyulitkan mana-mana pihak sebaliknya bagi mengelakkan insiden seperti hakisan yang boleh mengancam keselamatan pelancong dan pengunjung.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial