AM

22 Belia Kumpulan Pertama Program ADi Anjuran QSR Brands, Yayasan JCorp Tamat Latihan

12/09/2025 07:38 PM

JOHOR BAHRU, 12 Sept (Bernama) -- Seramai 22 belia yang kebanyakannya daripada keluarga B40 berjaya menamatkan latihan sebagai kumpulan pertama graduan Akademi Dalam Industri (ADi) pada Selasa lepas, sekali gus membuka peluang ke arah kerjaya dan tahap pendidikan lebih tinggi. 

QSR Brands dalam kenyataan memaklumkan program yang sebelum ini dikenali sebagai perantisan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) itu dilaksanakan hasil kerjasama QSR Brands (M) Holdings Bhd, Yayasan Johor Corporation (Yayasan JCorp) dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ).

Inisiatif diterajui Kementerian Sumber Manusia menerusi Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) itu bertujuan membekalkan kemahiran vokasional secara praktikal dan membuka laluan kepada latihan industri yang relevan khususnya di restoran KFC untuk golongan kurang berkemampuan.

"Sepanjang hampir dua tahun, para pelatih di sini telah menyeimbangkan latihan praktikal di restoran  dengan pembelajaran bilik darjah dan hasilnya mereka memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 dan 3 di samping Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). 

"Selain itu, para graduan turut menerima sijil tamat latihan KFC yang mana membuka laluan lebih pantas untuk menyertai tenaga kerja QSR Brands yang sedang berkembang. QSR Brands merupakan syarikat swasta pertama yang bertindak sebagai pakar industri bagi melatih pelajar menengah atas sebagai perantis KFC, " menurut kenyataan tersebut.

Ketua Pegawai Sumber Manusia QSR Brands Dr Sharifah Musainah Syed Alwi berkata graduasi kumpulan pertama itu merupakan detik membanggakan syarikat berkenaan seiring komitmen dalam membimbing bakat muda dan melengkapkan mereka dengan kemahiran untuk berjaya.

"Kami percaya kepada potensi belia negara dan berusaha membimbing mereka ke arah kerjaya bermakna. Melalui program ADi, kami bukan sahaja membentuk masa depan individu, malah turut memperkukuh tenaga kerja negara.

“Kami lebih berbangga kerana lapan daripada 22 graduan memilih untuk meneruskan kerjaya bersama KFC Malaysia, bukti nyata terhadap peluang dan perkembangan yang ditawarkan," katanya. 

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan JCorp Zaidatul Zurita Abdul Rahman pula berkata program itu membuka jalan kepada belia khususnya daripada keluarga B40 untuk memperoleh kemahiran sebenar yang mampu mengubah perjalanan hidup mereka.

"Kita sentiasa komited dalam memperkasakan generasi muda. Pada masa akan datang, program ADi akan diperluas ke sektor penjagaan kesihatan melalui syarikat kumpulan JCorp, KPJ Healthcare Berhad agar lebih ramai belia mempunyai laluan ke arah kejayaan," tambahnya. 

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin dalam ucapan pada majlis graduasi yang berlangsung di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Yayasan Warisan Johor itu berkata kerajaan negeri menyokong penuh inisiatif yang membuka peluang kepada pelajar kurang berkemampuan dalam usaha membina kehidupan lebih baik.

"Apa yang diraikan (majlis graduasi) membuktikan bahawa dengan sokongan yang tepat, generasi muda mampu mengatasi cabaran dan membentuk masa depan mereka sendiri. 

"Kejayaan 22 pelajar ini selari dengan visi Johor untuk melahirkan bakat yang bakal memacu negara ke hadapan. Kami menghargai usaha QSR Brands dan KFC dalam menyediakan program latihan terbaik ini," katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan