EKONOMI

Taiwan Select Tampilkan Lebih 300 Produk Makanan Di Pameran Eksklusif

12/09/2025 06:22 PM

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Inisiatif penjenamaan makanan Taiwan, Taiwan Select, melancarkan pameran eksklusif menampilkan 40 jenama terkenal dari Taiwan dengan lebih 300 produk di pasar raya antarabangsa The Food Merchant di Pavilion Bukit Jalil, bermula hari ini sehingga 31 Dis, 2025.

Dalam satu kenyataan hari ini, inisiatif jenama itu berkata pameran terhad itu akan mengetengahkan kepelbagaian keunikan makanan Taiwan merangkumi snek, perasa, minuman segera, mi segera, sos dan biskut kana-kanak.

"Sebanyak 26 produk baharu yang mendapat sambutan hangat di Taiwan dan berada di Malaysia buat pertama kali turut dipamerkan.

“Antara produk baharu tersebut ialah biskut tradisional ‘Hsin Tung Yang’, pek teh susu gula perang ‘Teaman’, snek bijan hitam ‘Tang Shop’, dan pastri keladi ‘Mr Hero’,” menurut kenyataan itu.

Wakil Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia Phoebe Yeh berkata pameran ini menampilkan makanan yang enak yang mempunyai tiga ciri utama makanan Taiwan, iaitu kepercayaan, semula jadi, dan kreativiti.

“Melalui inisiatif ini, jenama Taiwan boleh bertapak di Malaysia, menjadi sebahagian daripada gaya hidup harian rakyat tempatan dan membuka lebih banyak peluang kerjasama dan perdagangan makanan antara Taiwan dan Malaysia,” katanya.

Taiwan Select berkata semua produk makanan Taiwan dibawa masuk secara eksklusif oleh pengimport makanan utama Jimrosa (M) Sdn Bhd dan disesuaikan mengikut citarasa tempatan.

Kempen promosi selama lima bulan selama lima bulan ini turut menampilkan produk kegemaran ramai seperti kek nanas, mochi dan kek matahari, selain 14 produk yang telah mendapat pensijilan halal.

Sebagai sebahagian daripada promosi, turut diadakan sesi percubaan makanan dari 12 hingga 14 September serta penampilan khas siri biskut kanak-kanak Toddler Friends.

“Pelanggan yang membelanjakan RM50 ke atas dalam satu resit layak menerima beg mesra alam eksklusif, manakala perbelanjaan RM100 dan ke atas melayakkan mereka menyertai cabutan bertuah untuk memenangi hadiah istimewa seperti tali bagasi dan kipas tangan,” kata kenyataan itu lagi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan