PUTRAJAYA, 12 Sept (Bernama) -- Kerajaan tidak akan berkompromi dengan pihak luar yang mencetuskan provokasi sehingga menimbulkan kekecohan dan mengganggu proses pengosongan rumah teres di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur, semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata beliau amat kesal dengan kekecohan yang turut menyebabkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman mengalami kecederaan.
Menurutnya, kekecohan itu berpunca daripada campur tangan pihak luar yang cuba mempengaruhi penduduk agar menolak projek pembangunan semula di kawasan itu.
“Sebenarnya, semalam saya telah sebut kekesalan dan kekecewaan saya atas apa yang berlaku. Dan saya juga dah dimaklumkan sebenarnya, apa yang berlaku semalam adalah dilakukan oleh mereka-mereka yang bukan penduduk di situ.
“Ini sangat mengganggu. Sebab kita kena faham, sebab saya tahu siapa sebenarnya mereka. Dan saya kira di luar sana (ada) yang mahu mengambil kesempatan menunggang isu ini, saya memang takkan bagi peluang untuk (mereka) menunggang isu ini,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.
Beliau berkata kerajaan ingin memastikan proses pengosongan yang dilaksanakan mengikut perintah mahkamah itu dilaksanakan dengan cara baik tanpa sebarang gangguan luar yang boleh mengganggu ketenteraman awam dan menyeru pihak yang tidak bersetuju agar menyalurkan bantahan di saluran yang sepatutnya.
“Kalau tidak puas hati dengan pampasan, proses mahkamah ada untuk mereka lakukan. Bukan dengan mencetuskan provokasi atau mengajak orang lain berdemonstrasi,” katanya.
Dalam pada itu, Zaliha turut menzahirkan kekesalan terhadap kenyataan pihak tertentu yang menyamakan situasi kekecohan yang berlaku di kampung itu dengan konflik di luar negara.
“Saya kira tidak wajar untuk menyamakan apa yang berlaku dengan negara lain seperti di Indonesia atau Nepal. Kenapa kita mahu negara ini tidak aman?
"Saya tidak akan beri peluang untuk menunggang isu ini. Kita bersusah-payah memastikan keamanan negara, jadi hal-hal seperti ini (kita) perlu tolak,” katanya.
Dalam kejadian semalam, Sulizmie Affendy cedera pada kepala dipercayai terkena balingan batu oleh individu tidak dikenali ketika operasi pengosongan 37 unit rumah teres Kampung Sungai Baru.
Operasi itu dijalankan susulan arahan mahkamah berhubung proses perobohan struktur rumah di kawasan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial