KUCHING, 12 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata Malaysia akan menonjolkan strategi semikonduktor negara pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur bulan depan bagi menarik lebih banyak pelaburan asing dalam industri berkenaan.
Beliau berkata kerajaan akan mempromosikan insentif berdaya saing serta kedudukan strategik Malaysia sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan global.
“Sempena Sidang Kemuncak ASEAN, kita juga akan mempromosikan strategi semikonduktor dan insentif kompetitif kepada firma asing,” katanya ketika merasmikan peluasan fasiliti X-FAB Sarawak di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya di sini.
Anwar berkata Malaysia, khususnya Sarawak, berada pada kedudukan terbaik untuk memperincikan kekuatan sedia ada, dengan negeri itu bakal menjadi tumpuan utama pada sidang kemuncak berkenaan.
Beliau berkata Sarawak akan diketengahkan secara menonjol dalam penglibatan antarabangsa Malaysia, khususnya sepanjang sesi ekonomi yang diadakan bersempena sidang kemuncak utama seperti ASEAN, bagi mempamerkan peluang pelaburan serta kesiapsiagaan negeri itu menyokong rantaian bekalan semikonduktor global.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri mengesahkan kehadiran Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa pada sidang kemuncak itu.
Sebelum ini, beliau turut mendedahkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Presiden Rusia Vladimir Putin dan Perdana Menteri China Li Qiang juga akan hadir.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial