KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Pembangunan ekonomi dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dijangka menjadi isu tumpuan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang akan diadakan pada bila-bila masa, kata Felow Penyelidik ILHAM Centre Mujibu Abdul Muis.
Beliau berkata daripada aspek pembangunan, Kerajaan MADANI semenangnya komited untuk membangunkan "Negeri di Bawah Bayu itu" dan terbukti apabila Sabah menerima peruntukan hampir RM6.7 bilion dalam Belanjawan 2025.
Bagaimanapun, beliau berkata terdapat isu lain yang perlu diberi perhatian, iaitu pengangguran dalam kalangan golongan muda yang tertinggi di negara ini dengan kadar 6.7 peratus pada suku pertama 2025.
“Isu pengangguran dan peluang pekerjaan kekal kritikal di Sabah, terutamanya dalam kalangan pengundi muda yang semakin ramai sejak pengenalan pengundian automatik 18 tahun pada Pilihan Raya Umum yang lepas,” katanya dalam program Ruang Bicara: PRN Sabah – Perkukuh Kesiapsiagaan dan Strategi Inklusif, terbitan Bernama TV malam tadi.
Selain pembangunan ekonomi, Mujibu berkata naratif MA63 yang menuntut hak-hak Sabah dalam Persekutuan turut akan menjadi "senjata politik" utama.
Beliau berpandangan parti tempatan mahupun dari Semenanjung yang mahu menonjolkan diri sebagai pilihan rakyat pada PRN nanti perlu membuktikan bahawa janji MA63 bukan sekadar retorik, tetapi mampu diterjemah kepada hasil konkrit, sepertimana yang diperjuangkan Sarawak.
“Perjanjian MA63 menegaskan konsep rakan kongsi sama rata dalam Malaysia, terutama berkaitan dengan hasil yang sepatutnya dinikmati Sabah sebagai sebahagian daripada Persekutuan.
“Walaupun perkara itu sudah termaktub dalam Perlembagaan, cabaran sebenar ialah sejauh mana kerajaan sebelum ini dan sekarang dapat merealisasikan hak terbabit secara nyata dalam ekonomi rakyat Sabah. Parti politik yang memahami dinamik ini perlu mengatur strategi dengan bijak,” katanya.
Pada 14 Julai lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata keputusan berhubung dengan tuntutan 40 peratus hasil Sabah seperti termaktub dalam MA63 dijangka dimuktamadkan sebelum sambutan Hari Malaysia, 16 Sept ini.
Fadillah berkata 13 tuntutan oleh Sabah dan Sarawak telah diselesaikan termasuk sembilan di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI manakala empat lagi dimuktamadkan semasa pentadbiran kerajaan terdahulu.
Sementara itu, penganalisis politik Dr Sharmin Kutty Sivaraman pula yakin pengundi di Sabah semakin matang dalam menilai isu pembangunan dan kesejahteraan, walaupun negeri itu sering dianggap sebagai "simpanan tetap" dalam kancah politik negara.
“Saya percaya pengundi Sabah sudah mempunyai tahap rasional dalam membuat pilihan, tetapi sentimen prodesa dan budaya sangat kuat di Sabah, terutama berkait dengan agama, kaum, dan geografi.
“Hal ini akan turut mempengaruhi keputusan mereka kerana mahu memastikan Sabah dikendalikan oleh pihak yang bertanggungjawab,” kata pensyarah kanan Universiti Antarabangsa INTI itu.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 akan terbubar secara automatik pada 11 Nov ini sekiranya tidak dibubarkan lebih awal, sekali gus membuka laluan kepada PRN17.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial