JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Ditahan Miliki Senjata Api Di Gua Musang

11/09/2025 08:53 PM

KOTA BHARU, 11 Sept (Bernama) -- Seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun ditahan selepas didapati memiliki senjata api dan peluru hidup tanpa lesen di sebuah rumah kongsi dalam ladang kelapa sawit, semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata tangkapan dilakukan pada kira-kira 4 petang oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang menerusi Op Laras di rumah kongsi tanpa nombor di kawasan KPF Plantation Sdn Bhd, Gua Musang.

Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut menemui sebuah beg berwarna hitam berisi dua laras senapang patah dan satu laras pistol buatan sendiri.

Sik berkata turut ditemui antara menemui botol plastik berpenutup merah mengandungi 21 butir peluru hidup serta sebilah pedang berhulu kayu dan bersarung kayu di dalam rumah berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyimpan atau menggunakan senjata api dan amunisi tanpa kebenaran serta segera menyalurkan maklumat sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan di kawasan masing-masing.

Sementara itu, seorang lelaki warga asing ditemukan mati dalam keadaan tragis di kebun Sonchong, di belakang KPF, di sini, semalam.

Sik berkata pihaknya menerima laporan orang awam pada 3.30 petang mengenai penemuan mayat itu berhampiran sebuah rumah kongsi kebun.

“Siasatan awal mendapati terdapat kesan tetakan pada leher dan bahagian dada kiri mangsa, dipercayai akibat senjata tajam. Mayat telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Menurutnya, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Gua Musang di talian 09-9121222 atau balai polis berdekatan.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan