PUTRAJAYA, 11 Sept (Bernama) -- Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dengan kerjasama Futurise Sdn Bhd (Futurise) berada di landasan tepat untuk mebangunkan Konsep Operasi (ConOps) Mobiliti Udara Maju (AAM), yang dijangka dilancarkan pada suku pertama 2026.
Dalam kenyataan hari ini, CAAM berkata inisiatif itu akan mempercepatkan kemasukan Malaysia ke era AAM.
“Inisiatif penting ini akan meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam ekonomi ruang udara altitud rendah serantau, sekali gus membuka jalan bagi penyelesaian pengangkutan baharu seperti pesawat berlepas dan mendarat secara menegak (eVTOL),” menurut kenyataan itu.
Pada Disember 2024, CAAM telah melantik Futurise sebagai sekretariat kepada Jawatankuasa Pemandu Mobiliti Udara Maju (AAM-SC), dengan memanfaatkan pengalaman Futurise dalam pelaksanaan medan ujian kawal selia atau regulatory sandbox bagi inovasi baharu seperti teknologi dron, kenderaan autonomi, mikromobiliti dan perkhidmatan kesihatan dalam talian.
Selain memantau pelaksanaan regulatory sandbox, Futurise akan menerajui pembangunan dokumen ConOps selaras dengan hala tuju dasar CAAM, serta menyumbang kepakaran dalam merangka pelan hala tuju AAM bagi memastikan integrasi Malaysia ke dalam ekonomi penerbangan altitud rendah dapat dilaksanakan secara terancang dan strategik.
Dokumen ConOps akan berfungsi sebagai dokumen strategik yang bersifat dinamik bagi membimbing pelaksanaan serta pertumbuhan perkhidmatan AAM secara selamat di Malaysia. Ia akan mentakrifkan senario operasi, peranan pihak berkepentingan, penggunaan ruang udara serta keperluan kawal selia, sekali gus membolehkan peralihan daripada kerangka konseptual kepada pelaksanaan di dunia sebenar.
ConOps Malaysia akan diselaraskan dengan kerangka kawal selia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa seperti yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) dan badan-badan lain.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud dalam kenyataan sama berkata melalui ConOps tersebut, regulatory sandbox akan digerakkan untuk membolehkan peralihan AAM daripada perbincangan konseptual kepada aplikasi sebenar di dunia nyata.
Beliau berkata regulatory sandbox berkenaan akan menyediakan persekitaran terkawal untuk ujian dan inovasi, membolehkan pembangunan pesat serta pelaksanaan teknologi AAM secara selamat berpandukan dokumen ConOps. Ini merupakan satu langkah penting dalam penyertaan aktif Malaysia dalam landskap AAM di peringkat global.
“Cabaran masih wujud dalam usaha memajukan ekosistem AAM di Malaysia, terutamanya disebabkan tanggapan salah yang meluas dalam kalangan orang ramai yang menyamakan dron dengan AAM. Penjelasan terhadap perbezaan ini penting,” katanya.
Beliau menambah walaupun dron diklasifikasikan sebagai Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) dan telahpun dikawal selia di bawah Peraturan Penerbangan Awam dan Arahan Penerbangan Awam (CAD), AAM merangkumi kelas pesawat yang lebih luas seperti eVTOL yang memerlukan pendekatan kawal selia baharu.
“Sebahagian daripada peranan Futurise sebagai Sekretariat AAM-SC adalah untuk menyelesaikan kekaburan berkaitan AAM sebagai segmen pesawat baharu yang dilengkapi dengan fungsi dan keupayaan lebih canggih,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial