PUTRAJAYA, 11 Sept (Bernama) -- Kes buli di sekolah di bawah seliaan Kementerian Pendidikan menunjukkan peningkatan signifikan setiap tahun sejak 2022 dengan lebih 70 peratus daripadanya dilaporkan berlaku di sekolah menengah.
Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) Dr Farah Nini Dusuki berkata pada 2022, sebanyak 819 kes buli berlaku di sekolah rendah manakala 3,064 dicatatkan di sekolah menengah.
Angka berkenaan meningkat kepada 1,110 kes di sekolah rendah pada 2023, dan 5,418 kes di sekolah menengah manakala pada 2024, sebanyak 1,992 kes dicatatkan di sekolah rendah dan 5,689 kes di sekolah menengah.
Beliau berkata trend berkenaan amat membimbangkan justeru wujud keperluan serius untuk menggubal akta berkaitan antibuli bagi melindungi keselamatan kanak-kanak.
“Selain itu, kita juga tertakluk kepada Artikel 19 Konvensyen Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memerlukan kerajaan untuk melindungi kanak-kanak daripada semua bentuk keganasan fizikal atau mental, pengabaian dan penderaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi pembentangan sempena Sesi Townhall 'Anti Buli' anjuran Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) di sini hari ini.
Memfokuskan pada isu hak kanak-kanak, Farah Nini berkata pewujudan akta berkaitan antibuli juga amat mustahak memandangkan negara kini tiada akta khusus berkaitan dan hanya bergantung pada (badan) disiplin sekolah dan undang-undang umum.
“Perlindungan menyeluruh diperlukan iaitu ia bukan sekadar hukuman semata-mata, tetapi ia meliputi aspek pemulihan, sokongan kaunseling dan intervensi keluarga.
"Kanak-kanak juga merupakan pelaburan masa hadapan negara dan kita perlu mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih selamat,” katanya.
Beliau berkata Jepun dan Filipina mempunyai undang-undang antibuli khusus yang masing-masing berkuat kuasa sejak 2013, mencakupi elemen buli yang menyebabkan kesakitan fizikal dan penderitaan emosi dan yang melibatkan kerosakan harta benda.
Timbalan Ketua Pengarah (Reformasi Undang-Undang) G. Thiyagu dalam sesi pembentangannya berkata undang-undang dan mekanisme sedia ada dalam negara untuk menangani kes buli termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu komunikasi dalam talian yang memudaratkan dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2024, bertujuan meningkatkan dan menggalakkan keselamatan dalam talian.
Bagaimanapun menurut Thiyagu, pemerhatian awal BHEUU mendapati wujud jurang undang-undang dalam isu berkaitan buli termasuk tiada definisi statutori yang jelas mengenai ‘buli’ selain pendekatan lebih berorientasikan jenayah yang menumpukan pada hukuman dan bukannya pemulihan.
“Proses mahkamah (jika sabit kesalahan) juga amat panjang, bersifat teknikal dan tidak mesra kanak-kanak dan sekiranya melibatkan kes sivil, kosnya juga tinggi,” katanya.
Turut hadir pada sesi townhall itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan pihak berkepentingan lain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial