AM

HSB Cari Waris Mayat Tidak Dituntut

11/09/2025 03:32 PM

NIBONG TEBAL, 11 Sept (Bernama) -- Hospital Sungai Bakap (HSB) di sini mencari ahli keluarga atau waris kepada seorang lelaki warga emas yang meninggal dunia di hospital itu semalam namun tiada waris yang dapat dihubungi atau tampil menuntut mayatnya

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, HSB memaklumkan lelaki itu, T.Sukumaran yang  berbangsa India dan berusia 67 tahun meninggal dunia pada 10.45 pagi semalam.

"Pesakit dibawa ke Jabatan Kecemasan HSB oleh ambulans kerana sesak nafas pada 10.17 pagi dan disahkan meninggal dunia 10.45 pagi setelah menerima rawatan kecemasan. Bedah siasat dijalankan mendapati sebab kematian adalah 'Ischemic Heart Disease'.

"Lelaki warga emas itu adalah penghuni rumah jagaan Good Shepherd Care Centre Jawi sejak 2014 dan sepanjang berada di pusat jagaan tiada waris atau kenalan yang hadir melawat atau menuntut hak jagaan terhadapnya," menurut kenyataan itu.

HSB memaklumkan carian waris berdasarkan alamat terakhir pada kad pengenalan lelaki itu tidak dapat dilakukan kerana alamat tersebut adalah alamat pusat jagaan dan hingga kini tiada waris yang tampil untuk menuntut mayat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai waris atau mengenali mereka boleh menyalurkan kepada HSB atau tampil di Jabatan Forensik hospital tersebut bagi tuntutan mayat atau kebenaran pengebumian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan