KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Forum Perniagaan Inklusif ASEAN (AIBF) edisi ke-8 selama dua hari bermula esok dijangka menghimpunkan lebih 400 peserta termasuk pembuat dasar, syarikat, pelabur dan pertubuhan antarabangsa bagi membincangkan pembangunan ekosistem Perniagaan Inklusif (IB) di rantau ASEAN.
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata forum yang akan berlangsung di Sunway Resort Hotel, Sunway City di sini, merupakan antara inisiatif utama Malaysia sempena Kepengerusian ASEAN 2025.
“Perniagaan inklusif adalah kunci pertumbuhan ekonomi serantau yang mampan, di samping membuka peluang kepada golongan berpendapatan rendah untuk terlibat dalam rantaian nilai perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata fokus tersebut seiring dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menitikberatkan pembangunan Perusahaan Sosial (SE), IB dan koperasi.
Pada edisi kali ini, Malaysia turut memperkenalkan dua anugerah baharu iaitu Inclusivity Special Award dan Sustainability Special Award, sejajar dengan tema “Inclusivity and Sustainability” bagi ASEAN Inclusive Business Awards 2025 yang diadakan bersempena forum itu.
Beliau berkata sebanyak 10 syarikat perniagaan inklusif dari setiap negara ASEAN bakal menerima pengiktirafan pada acara itu.
Khairul Dzaimee berkata majlis perasmian AIBF akan disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan, manakala acara kemuncak ASEAN Inclusive Business Awards 2025 akan diserikan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sebagai tarikan tambahan, ASEAN IB dan SE Showcase akan berlangsung pada 11 hingga 14 Sept ini di Sunway Pyramid bermula 10 pagi hingga 10 malam, menampilkan 40 reruai yang mengetengahkan pelbagai produk dan perkhidmatan daripada syarikat IB dan SE serantau.
“Showcase ini bukan sekadar ruang jualan, tetapi juga platform untuk berkongsi kisah kejayaan dan impak sosial yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Orang ramai dijemput hadir untuk menyokong perniagaan inklusif dan sosial, sambil berpeluang berinteraksi dengan usahawan serantau serta merasai pengalaman unik dunia perniagaan berimpak positif.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial