KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Sebanyak 2.67 juta isi rumah di Sarawak telah menerima manfaat menerusi program Jualan Agro MADANI anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Timbalan Menteri berkenaan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata sejak program itu diperkenalkan pada April 2023 hingga Julai lepas, sebanyak 1,530 penganjuran telah dilaksanakan di seluruh negeri berkenaan yang mencatatkan kehadiran 640,495 pengunjung dengan penyertaan 21,058 usahawan tempatan.
Beliau berkata program berkonsepkan jualan terus dari ladang kepada pengguna itu telah menjana jualan keseluruhan RM23.53 juta, selain memberikan penjimatan harga barangan bernilai RM5.85 juta kepada isi rumah di Sarawak.
“Melalui inisiatif ini, rakyat berpeluang membeli barangan asas terpilih seperti telur, beras dan sebagainya pada harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran, sekali gus membantu mengurangkan kos sara hidup serta memperluas pasaran bagi pengeluar tempatan,” katanya.
Arthur menjawab soalan Senator Roderick Wong Siew Lead mengenai kemajuan program Jualan Agro MADANI di Sarawak pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Menjawab soalan tambahan Senator Che Alias Hamid berhubung mekanisme bagi memperluas liputan program terutama di kawasan pedalaman dan komuniti B40, Arthur berkata tiada sekatan ditetapkan berhubung lokasi penganjuran, malah ia pernah dilaksanakan di kawasan paling terpencil seperti Kampung Logongon di Pagalungan, Sabah.
“Hasil kajian menunjukkan 45 peratus lokasi penganjuran adalah di luar bandar manakala 42 peratus di bandar dengan golongan B40 merupakan penerima manfaat terbesar iaitu sebanyak 83 peratus,” katanya.
Beliau berkata pihaknya memastikan setiap program memberikan impak kepada masyarakat dengan lokasi kebiasaannya dipilih berdasarkan kepadatan penduduk seperti di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR), pekarangan masjid dan tempat tumpuan awam lain.
Arthur berkata kementerian juga merangka lima strategi utama bagi memastikan program tersebut terus memberikan impak positif kepada rakyat dan usahawan termasuk pemantapan sistem, latihan dan kompetensi, penentuan lokasi yang lebih berfokus, hebahan digital serta pelaksanaan e-jualan Agro MADANI.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial