KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menganjurkan Mesyuarat ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN PAC) ke-21 di Petaling Jaya, Selangor dari 28 hingga 30 Okt ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata mesyuarat bertemakan ‘Perpaduan ASEAN: Perkongsian Awam-Swasta untuk Membanteras Rasuah’ itu akan disertai 10 negara ASEAN bersama beberapa organisasi antarabangsa, selain Timor-Leste yang hadir sebagai pemerhati.
“Objektif ASEAN PAC kali ini adalah untuk mengukuhkan kerjasama serantau melalui perkongsian pintar antara sektor awam dan swasta dalam memerangi rasuah.
“Ia juga memberi peluang kepada SPRM untuk berkongsi inisiatif antirasuah yang telah dijalankan, selain mendapatkan pandangan negara lain mengenai usaha mereka,” katanya dalam temu bual khas di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, semalam.
Menurut Azam, mesyuarat itu juga akan membantu meningkatkan penilaian Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) kerana usaha yang dijalankan memberi manfaat bukan sahaja di peringkat nasional, malah di seluruh rantau.
Sementara itu, Azam berkata SPRM akan melancarkan program antirasuah peringkat nasional, Keep Malaysia Clean (KMC), sempena sambutan ulang tahunnya pada 1 Okt ini, yang dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata KMC dianjurkan dengan kerjasama Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), selain mendapat sokongan strategik daripada Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek hasil sesi libat urus yang telah diadakan.
“KMC akan dilaksanakan selama 15 bulan sebagai pelan tindakan untuk memperkenalkan pendekatan baharu dalam menerapkan nilai bersih, tanggungjawab sivik dan integriti di semua sektor, termasuk kerajaan, swasta, pelajar dan komuniti.
“Program ini akan menggunakan strategi lebih jelas dengan memberi tumpuan kepada kumpulan sasar yang telah dikenal pasti,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial