AM

PM Anwar Rasmi Mesyuarat AMMTC Ke-19 Di Melaka

09/09/2025 05:50 PM

MELAKA, 9 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan di sini.

Beliau tiba di venue persidangan dan disambut oleh Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Kementerian Dalam Negeri dalam kenyataan memaklumkan rangkaian mesyuarat bermula dengan persediaan Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (SOMTC) yang menghimpunkan pegawai kanan sebelum diteruskan dengan sesi utama peringkat menteri yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. 

Mesyuarat kali ini dianggap signifikan memandangkan Pelan Tindakan ASEAN dalam Memerangi Jenayah Transnasional 2016-2025 bakal tamat hujung tahun ini sekali gus membuka laluan kepada pengesahan pelan tindakan baharu bagi tempoh 2026 hingga 2035.

"Antara inisiatif utama yang dijangka dimuktamadkan termasuk penubuhan Kumpulan Kerja SOMTC mengenai pengubahan wang haram, penerimaan Pelan Hala Tuju Kerjasama Pengurusan Sempadan ASEAN serta pengisytiharan penting seperti Deklarasi Melaka dalam Memerangi Jenayah Transnasional," menurut kenyataan itu.

Para menteri juga dijangka memperakukan beberapa Deklarasi Pemimpin-Pemimpin ASEAN yang merangkumi aspek penguatkuasaan undang-undang rentas sempadan, pencegahan pengubahan wang haram serta inisiatif kreatif melalui aktiviti sukan bagi mengekang ekstremisme.

Mesyuarat berkenaan turut memberi ruang untuk mengukuhkan sokongan politik terhadap proses penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN.

“Negara itu kini giat memuktamadkan langkah perundangan berkaitan Konvensyen ASEAN bagi Memerangi Keganasan (ACCT) dan Konvensyen ASEAN Menentang Pemerdagangan Orang, Terutama Wanita dan Kanak-Kanak (ACTIP), menjelang keahlian penuhnya yang dijangka diputuskan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Oktober depan,” menurut kenyataan itu.

Majlis perasmian itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Awang Alik Jeman, pengurusan tertinggi kementerian dan agensinya.

Melaka menjadi tumpuan rantau ini apabila menteri-menteri dan pegawai-pegawai kanan ASEAN yang bertanggungjawab dalam keselamatan dan pembanterasan jenayah rentas sempadan berkumpul dari 8 hingga 12 Sept bagi menghadiri AMMTC ke-19 dan mesyuarat berkaitan.

AMMTC ke-19 dan mesyuarat berkaitan diadakan bersempena dengan Kepengerusian ASEAN 2025 bertemakan "Keterangkuman dan Kemampanan", yang mencerminkan komitmen negara untuk membina komuniti ASEAN yang lebih selamat dan makmur.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan