PEKAN, 8 Sept (Bernama) -- Temasya Warisan Pahang 2025 yang melabuhkan tirainya semalam bukan sekadar persembahan kebudayaan, sebaliknya dilihat menjadi platform mengetengahkan legasi seni, budaya dan warisan agar terus hidup dalam jiwa masyarakat khususnya generasi muda.
Program anjuran Yayasan Tenun Pahang Diraja itu berlangsung tujuh hari bermula 1 Sept lepas di Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah, Pulau Keladi di sini dan telah membawa pengunjung mendekati elemen kesenian bukan sahaja daripada Pahang bahkan seluruh negara termasuk Sarawak.
Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa terharu dengan sambutan yang diberikan terhadap acara yang julung kali diadakan itu yang merekodkan kehadiran hampir 100,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.
Tunku Azizah yang juga pengasas dan Pengerusi Yayasan Tenun Pahang Diraja turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan temasya itu antaranya Muzium Pahang dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.
“Masa kita rancang nak buat temasya ini sama sendiri cakap tak tahulah macam mana sambutan nanti, tetapi ini kali pertama kita belajar apa yang salah buat...ketakutan terbesar kami ialah tiada siapa datang, tapi Alhamdulillah hari kelima saya diberitahu dah dekat 70,000 orang pengunjung.
“Saya tengok sambutan yang begitu meriah dan sebenarnya kami rancang hanya buat dua tahun sekali, tetapi mungkin terpaksa buat tahunan juga,” titah baginda kepada pemberita semalam.
Temasya yang turut disertai Türkiye bersama tiga negara ASEAN iaitu Laos, Indonesia dan Singapura itu turut merekodkan hasil jualan mencecah RM1 juta antaranya menerusi penawaran pelbagai produk kraf dan makanan warisan.
Tunku Azizah bertitah seni warisan negara perlu sentiasa dipelihara, diketengahkan serta dikembangkan demi generasi akan datang dengan pelbagai inisiatif dilaksanakan baginda sendiri antaranya menerusi Yayasan Warisan Tunku Azizah dan Yayasan Tenun Pahang Diraja.
“Ini semua bukan untuk saya, tetapi rakyat negeri Pahang untuk tahu kita ini kaya dengan seni kraf daripada menenun, mengukir, makanan, tarian, muzik itu semua adalah warisan kita, jadi sepatutnya kena pelihara warisan, kalau tidak ia akan mati begitu sahaja,” titah baginda.
Tengku Ampuan Pahang turut menzahirkan penghargaan kepada Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang sentiasa menyokong hasrat baginda berkenaan warisan seni, budaya dan kraf tradisional negara agar terus dipelihara serta dimartabatkan di persada antarabangsa.
Temasya berkenaan telah membuka ruang kepada pengunjung menyertai pelbagai aktiviti menarik antaranya di bengkel kraf yang disediakan seperti batik blok, batik lukis, batik tanah liat, batik linut, pewarnaan fabrik teknik ikat dan celup, selain ukiran kayu, logam, anyaman mengkuang, seni telepuk, gerus, kelingkam, seramik, tenunan benang sutera dari Laos, sulaman sirma (Türkiye), pewarnaan alam (Indonesia), serat nanas dan kenaf (Singapura).
Lebih istimewa, program itu diserikan dengan demonstrasi masakan oleh Tunku Azizah sendiri selain pertandingan memasak dalam kalangan pelajar sekolah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial