KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Kementerian Digital akan menekankan pembangunan negara kecerdasan buatan (AI) menjelang 2030 dan inisiatif GovTech dalam Belanjawan 2026.
Menterinya Gobind Singh Deo berkata perkara tersebut dibincangkan dalam perjumpaan bersama Kementerian Kewangan menjelang Belanjawan 2026 yang dijadual dibentangkan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Oktober ini.
"Kita mahu melihat sebuah 'Negara AI' menjelang 2030 serta penekanan kepada inisiatif GovTech, pada masa sama kita berhasrat mewujudkan institusi GovTech untuk memastikan perkhidmatan digital kerajaan untuk masyarakat dapat dipertingkatkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan 'AI for Good (Educator)' di sini hari ini.
Gobind berkata kementerian itu turut memfokuskan aspek keselamatan siber dan perlindungan data peribadi dalam belanjawan yang akan datang.
"Kementerian Digital kini membangunkan struktur-struktur diperlukan untuk membina atau memdukung ekosistem digital yang baharu. Fokus akan tertumpu kepada bagaimana kita boleh diberi peruntukan untuk mendirikan institusi-institusi ini dalam masa terdekat dan dapat membina Negara AI menjelang 2030," katanya.
Beliau berkata permintaan berkenaan selaras dengan visi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan pelan Malaysia menuju negara AI menjelang 2030 dalam dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Sementara itu, Persidangan AI for Good (Educator) yang julung kali diadakan menandakan pelancaran rasmi di Malaysia bagi ASEAN AI for Good (Educator) Train-the-Trainer Programme.
Menurut satu kenyataan dikeluarkan, persidangan dianjurkan bersama oleh Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), Meta dan AI Singapore itu bertujuan memberi pengetahuan dan alat AI yang penting bagi memperkasa pelajar menghadapi masa depan digital kepada para pendidik di semua peringkat.
"Dilancarkan di peringkat ASEAN pada Oktober 2024, program ini menyasarkan untuk memberi manfaat kepada 5,000 pelajar di seluruh rantau menjelang 2025," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial