AM

UMS Perkasa Edutourism Digital, Hubungkan Pembelajaran Dan Pengalaman Nyata

08/09/2025 03:46 PM

LABUAN, 8 Sept  (Bernama) -- Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkasa pelancongan pendidikan atau “edutourism” digital sebagai inisiatif penting dengan menggabungkan pembelajaran akademik, teknologi dan pengalaman dunia nyata bagi memupuk kemahiran insani, kreativiti, dan inovasi.

Program ini mengintegrasikan realiti maya (VR), realiti terimbuh (AR), Internet benda (IoT) dan kecerdasan buatan (AI), sekali gus memberi peluang interaktif kepada pelajar untuk meneroka tapak bersejarah, pusat sains dan warisan budaya secara maya.

Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr Suhaili Abd Rahman ketika merasmikan proggram ICT-Edutourism: Educonnect Beyond Borders - Edisi Borneo di UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) hari ini, berkata usaha itu membolehkan pelajar menghubungkan pengetahuan akademik dengan pengalaman dunia sebenar serta memupuk minat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) .

“Sebagai Ahli Parlimen, saya menyokong sepenuhnya inisiatif yang mampu membentuk generasi celik digital, kreatif dan berdaya saing di peringkat global,” katanya. 

Berkongsi pandangan sama, Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr Kasim Mansor berkata edutourism bukan sekadar aktiviti luar bilik darjah tetapi menjadi penghubung antara pengetahuan akademik dan pengalaman dunia sebenar.

“Program ini memberi peluang kepada pelajar mengaitkan teori dengan amali, selain menghargai warisan khazanah tempatan serta mengasah bakat dalam komunikasi, kepimpinan dan pemikiran kritis,” katanya.

Beliau berkata sebagai sebuah universiti terletak di Borneo yang kaya dengan biodiversiti dan kepelbagaian budaya, UMS telah lama menerajui sektor edutourism melalui pembelajaran berasaskan pengalaman.

“Dengan peralatan digital seperti VR, AR dan AI pelajar tidak lagi terikat dengan masa dan tempat. Mereka boleh mengkaji ekosistem marin di Labuan melalui simulasi maya atau meneroka budaya etnik Sabah menerusi aplikasi interaktif,” katanya dalam ucapan yang disampaikan Pengarah UMSKAL Prof Dr Shamsul Bahari Shamsudin.

Sementara itu, Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) Prof Madya Dr Mohd Hanafi Ahmad Hijazi menegaskan bahawa edutourism merupakan platform penting untuk menghubungkan pendidikan, teknologi dan komuniti.

“Melalui program ini, FKI menyediakan kepakaran digital, bimbingan akademik dan peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan mereka dalam konteks sebenar, yang bukan sahaja memperkayakan pembelajaran pelajar malah turut memberi nilai tambah  kepada masyarakat dan menyokong usaha kerajaan untuk memperkukuh ekosistem digital,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Universiti Esa Unggul, Indonesia, kerana menjadi penganjur bersama bagi inisiatif serantau itu, serta Exness Investment Bank Limited (EIBL) dan Kementerian Digital atas sokongan, kepercayaan serta bimbingan mereka.

Program itu turut dihadiri peserta dari Sarawak, Indonesia, dan Brunei sekali gus mencerminkan komitmen serantau yang kukuh dalam meningkatkan bidang pendidikan, pelancongan dan teknologi digital.

Hanafi berkata program tersebut diharapkan dapat membuka jalan kepada kerjasama lebih erat antara fakulti, kementerian, industri dan komuniti.

"Menerusi sinergi antara kepakaran akedemik dan inovasi digital ini, saya yakin Malaysia mampu menjadi peneraju dalam edutourism digital di rantau ini,” katanya.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan