BERITA TERGEMPAR   Earthquake: 15 government buildings in Segamat suffered minor damage, estimated repair cost is RM550,550 - Ahmad Maslan | 
 AM

Beruang Matahari Berkeliaran, 3,000 Penduduk Kampung Jerek Resah

07/09/2025 12:18 PM

GUA MUSANG, 7 Sept (Bernama) -- Lebih 3,000 penduduk tujuh kampung di Kampung Jerek bimbang keselamatan mereka selepas seekor beruang matahari dilihat berkeliaran sejak 25 Ogos lalu, termasuk di kawasan pembuangan sampah berhampiran kediaman dan sekolah.

Pengerusi kuarters SMK Tengku Bendahara Nor Suzlina Umar berkata, haiwan itu dilihat mencari makanan di kawasan terbabit, menyebabkan penduduk terpaksa mengurangkan aktiviti luar rumah dan membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

"Jumaat lepas, kira-kira 9 malam, ketika anak-anak saya sedang bermain di kawasan rumah, mereka ternampak haiwan liar itu berada di tempat pembuangan sampah, dipercayai sedang mencari makanan,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Jerek di sini hari ini. 

Seorang penduduk, Muhammad Faiz Ahmad Fadzli, 36, turut merakam kelibat beruang itu kira-kira 200 meter dari rumahnya,

"Saya nampak ia sedang menyelongkar longgokan sampah di belakang bangunan perumahan dengan ketinggian haiwan itu dalam enam hingga tujuh kaki," katanya. 

Ismail Shafii, 41, pula berharap haiwan liar ini segera ditangkap dan bimbang ia mengancam pelajar sekolah berasrama yang kerap beriadah di padang berdekatan.

Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani mengesahkan aduan sudah diterima dan pemantauan dijalankan, selain menasihatkan penduduk menguruskan sampah dengan baik serta mengelakkan pembuangan sisa makanan yang boleh menarik perhatian haiwan tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan