KLUANG, 6 Sept (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki berusia 21 tahun selepas kereta dipandunya terbabas lalu merempuh pagar serta garaj sebuah rumah di Kampung Melayu, Simpang Renggam, dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata dalam kejadian kira-kira 11.30 malam itu, suspek yang memandu Proton Wira dari arah Johor Bahru menuju ke Ayer Hitam dipercayai memandu secara berbahaya sebelum terbabas di Kilometer 74 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam.
“Motokar tersebut telah terbabas dan melanggar pagar sebelum melanggar garaj kereta sebuah rumah. Bagaimanapun, pemandu motokar ataupun penghuni rumah tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pegawai penyiasat trafik yang tiba di lokasi menahan lelaki itu bagi siasatan lanjut dan ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah.
“Namun sampel darah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi mengesan kandungan alkohol dalam badan. Tahanan reman terhadap pemandu motokar tersebut diperolehi selama dua hari bagi siasatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain serta Seksyen 45A(1) akta sama kerana disyaki memandu dengan kandungan alkohol melebihi had ditetapkan.
“Polis Daerah Kluang menasihati pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, berhemah dan bertimbang rasa dalam pemanduan agar tidak berlaku kejadian yang tidak diingini.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Kluang melalui talian 07-7784222.
Terdahulu, tular video berdurasi kira-kira tiga minit yang merakam suasana riuh di lokasi kejadian selain memaparkan kerosakan yang dipercayai pada pagar dan garaj rumah terbabit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial