KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- Malaysia menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) dengan Belanda bagi menjalin kerjasama dalam industri semikonduktor, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab global dalam sektor berkenaan.
Perjanjian itu dimeterai oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi Belanda Vincent Karremans, di The Hague.
“Menerusi MoC ini, kita akan manfaatkan kepakaran Belanda dalam pembuatan cip termaju untuk meningkatkan rantaian nilai kita, terutamanya dalam pemasangan, pengujian, dan pembungkusan.
“Bersama-sama kita akan membina ekosistem semikonduktor yang berdaya tahan demi manfaat kedua-dua negara dan ekonomi global,” kata Tengku Zafrul menerusi hantaran terbaharunya di media sosial X.
Beliau turut berkata kerjasama tersebut selaras dengan Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) negara yang bermatlamat menarik pelaburan RM500 bilion, selain melahirkan syarikat tempatan bernilai tinggi dan melatih 60,000 jurutera menjelang 2030.
Dalam satu kenyataan berasingan, MITI berkata kerjasama tersebut menekankan kepentingan untuk mempelbagaikan rantaian bekalan global dan memastikan kedua-dua negara boleh kekal berdaya saing dalam menghadapi perubahan teknologi yang pesat dan dinamik pasaran yang berkembang.
Menurutnya, platform berstruktur MoC bagi kerjasama dua hala melalui Dialog Semikonduktor Dua Hala Tahunan akan memudahkan semakan bersama kemajuan dalam inisiatif khusus, pertukaran maklumat mengenai dasar industri dan arah aliran pasaran, dan penyelarasan dalam pembangunan bakat, penyelidikan dan pembangunan serta perkongsian teknologi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial