JENAYAH & MAHKAMAH

Guru Wanita Rugi RM230,447 Terperdaya Penipuan Dalam Talian

05/09/2025 05:23 PM

KUANTAN, 5 Sept (Bernama) -- Seorang guru wanita kerugian sebanyak RM230,447 selepas diperdaya sindiket penipuan dalam talian yang mendakwanya terlibat dengan kes pengubahan wang haram.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa berusia 40 tahun itu, pada mulanya menerima panggilan daripada individu yang mendakwa sebagai pegawai insurans sebelum disambungkan kepada beberapa pihak yang menyamar sebagai polis, pendakwa raya dan Bank Negara Malaysia.

Beliau berkata suspek mendakwa wanita itu terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan mempunyai 23 akaun bank berdaftar atas namanya, sebelum diarahkan membuka akaun baharu di sebuah bank serta membuat pinjaman.

“Seterusnya, mangsa turut diminta memasukkan wang simpanan dan pinjaman serta hasil gadaian barang kemas ke dalam akaun tersebut dengan alasan kononnya untuk menangguhkan waran tangkap dan mengelakkan pembekuan aset miliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, mangsa mula menyedari diperdaya setelah mendapati pengurangan wang dalam bank miliknya dengan transaksi ke akaun tidak pasti. 

Yahaya berkata mangsa telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan