AM

'Jom Exchange Al-Quran' Di PMR Kedah

05/09/2025 02:40 PM

BALING, 5 Sept (Bernama) -- Orang ramai berpeluang mendapatkan naskhah baharu al-Quran di reruai Kementerian Dalam Negeri (KDN) sempena Program MADANI Rakyat (PMR) Kedah di sini hingga esok.

Penolong Pegawai Penguasa Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Hamidah Ahmad berkata program 'Jom Exchange Al-Quran' (JEQ) itu membolehkan orang ramai menukar al-Quran yang rosak atau lusuh kepada naskhah baharu yang mempunyai perakuan KDN secara percuma. 

Beliau berkata sehingga kini sambutan daripada pengunjung PMR Kedah sangat menggalakkan dan hampir 200 al-Quran baharu telah diberikan kepada pengunjung.

"Bagaimanapun, kami telah menerima lebih 500 naskhah lama dan lusuh yang dibawa oleh orang ramai ke reruai kami ini. Naskhah yang sudah rosak akan dilupuskan mengikut prosedur ditetapkan memandangkan ia merupakan kitab suci bagi umat Islam," katanya.

Beliau ditemui Bernama pada hari kedua penganjuran PMR Kedah yang berlangsung selama tiga hari di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling di sini, bermula semalam hingga esok.

Hamidah berkata sebelum ini pihaknya telah melakukan hebahan menerusi pelbagai platform media dan sangat mengalu-alukan orang ramai khususnya penduduk di daerah ini untuk mengunjungi reruai JEQ.

Menurutnya selain program penukaran al-Quran, reruai Penguatkuasaan dan Kawalan KDN turut mempamerkan hasil penerbitan yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan moral.

Pengunjung, Muhammad Yusof Md Muhyiddin, 27, dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang berkata reruai JEQ amat bermanfaat kerana bukan sahaja membantu proses pelupusan kitab suci malah menyediakan pelbagai maklumat termasuk mengenai terbitan yang mengandungi maklumat tidak tepat.

"Penerangan yang diberikan di reruai KDN ni memberikan kesedaran kepada saya tentang wujudnya penerbitan yang tidak bermoral dan ada yang memudaratkan seperti memaparkan isi kandungan tidak tepat mengenai Islam dan dapat dijadikan panduan untuk saya," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan