EKONOMI

Sektor Pembinaan Malaysia Dijangka Berkembang 9.6 Peratus Pada 2025 - BMI

05/09/2025 01:34 PM

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) - Industri pembinaan Malaysia dijangka berkembang 9.6 peratus tahun ke tahun pada 2025, dipacu oleh sektor bangunan, kata BMI, anak syarikat Fitch Solutions.

Sementara itu, pertumbuhan pembinaan infrastruktur jangka panjang akan dirangsang oleh pelaburan tenaga dan utiliti, dengan integrasi serantau memacu pembangunan infrastruktur pengangkutan, kata syarikat itu dalam satu nota pada Khamis.

BMI berkata bangunan kediaman dan bangunan bukan kediaman dijangka berkembang masing-masing pada 15.7 peratus dan 10.3 peratus tahun ini.

“Tinjauan positif terhadap pembinaan bangunan kediaman disokong oleh pelaburan berterusan sektor swasta dalam projek mewah dan berskala besar, di samping inisiatif berterusan kerajaan yang menyasarkan rumah mampu milik.

“Pada masa yang sama, pertumbuhan kukuh pembinaan bangunan bukan kediaman disokong oleh pelaburan besar dalam pusat data dan projek pembuatan semikonduktor, dirangsang oleh peningkatan permintaan terhadap kecerdasan buatan (AI) dan kepakaran negara dalam pembuatan teknologi,” katanya.

Sementara itu, subsektor tenaga dan utiliti diunjur berkembang 6.5 peratus pada 2025, berbanding unjuran pertumbuhan industri infrastruktur lebih meluas sebanyak 4.2 peratus.

BMI berkata loji janakuasa dan grid penghantaran terus menjadi penyumbang terbesar daripada nilai industri dalam sektor pembinaan tenaga dan utiliti Malaysia dan disasar menjadi pemacu pertumbuhan utama dalam dekad akan datang.

Pada masa yang sama, pertumbuhan dalam sektor pengangkutan sebahagian besarnya akan disokong oleh komitmen kerajaan Malaysia untuk mengutamakan kesalinghubungan yang lebih baik di kawasan kurang membangun, khususnya di Sabah dan Sarawak.

BMI mengunjurkan sektor pembinaan Malaysia mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 4.1 peratus antara 2025 dan 2034, dengan pertumbuhan jangka panjang didorong terutamanya oleh peralihan tenaga dan pelaburan industri Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan