SUKAN

AIA Lantik Goh Sze Fei, Nur Izzuddin Duta Kesihatan Dan Kesejahteraan

04/09/2025 07:11 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- AIA Malaysia hari ini melantik pasangan beregu lelaki negara Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani sebagai Duta Kesihatan dan Kesejahteraan.

Pelantikan itu sejajar komitmen AIA dalam memperkasakan rakyat Malaysia untuk mengamalkan gaya hidup aktif serta seimbang.

Ketua Pegawai Eksekutif AIA Malaysia Ben Ng berkata pihaknya percaya sukan dapat mencetuskan perubahan positif.

“Sukan membina daya tahan, fokus dan keseimbangan kualiti yang melangkaui gelanggang serta memberi kesan dalam kehidupan seharian. Sze Fei dan Nur Izzuddin mencerminkan nilai-nilai ini melalui dedikasi serta pencapaian mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

AIA Malaysia yakin komitmen serta perjuangan Sze Fei dan Nur Izzuddin akan memberi inspirasi dan motivasi kepada rakyat Malaysia untuk kekal aktif, menjalani kehidupan lebih sihat, berpanjangan dan bermakna.

Sementara itu, Sze Fei dan Nur Izzuddin menegaskan kejayaan dalam sukan bukan sekadar bergantung pada kekuatan fizikal dan kemahiran.

“Kami sendiri merasai bagaimana sukan membentuk peribadi, membina kekuatan mental serta mengajar erti konsistensi. Ia lebih daripada persaingan kerana ia adalah cara hidup,” kata mereka dalam kenyataan sama.

Pasangan beregu itu sebelum ini, meraih pengiktirafan di peringkat antarabangsa termasuk menjuarai Terbuka India dan peningkatan dalam ranking dunia yang mencerminkan dedikasi mereka terhadap kecemerlangan serta semangat juang di pentas global.

Sebagai duta, mereka akan menyokong pelbagai inisiatif AIA dengan berkongsi pengalaman sebagai atlet profesional dan menekankan kepentingan langkah kecil tetapi konsisten untuk meningkatkan kesejahteraan jangka panjang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan