IPOH, 4 Sept (Bernama) -- Sektor pembuatan terus menjadi pemacu utama ekonomi negeri Perak apabila mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 5.1 peratus pada 2024 sekali gus menyumbang 19.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata berdasarkan Laporan Sosioekonomi Negeri Perak 2024, kejayaan sektor itu menjadi faktor penting kepada lonjakan keseluruhan pertumbuhan ekonomi negeri kepada 4.4 peratus dengan nilai KDNK mencecah RM86.2 bilion berbanding 2.7 peratus pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata pencapaian tersebut membuktikan bahawa Perak berada pada landasan tepat dalam memacu pembangunan ekonomi lebih inklusif dan mampan.
“Pencapaian ini menegaskan hakikat bahawa sektor pembuatan menjadi pemacu utama kepada pelaburan, penciptaan pekerjaan serta peningkatan daya saing negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-57 Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Perak di sini, malam tadi.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee, Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai dan Pengerusi FMM Perak Chua Kay Lin.
Saarani menegaskan komitmen penuh kerajaan negeri untuk membuka ruang seluas-luasnya kepada kerjasama termasuk bersama FMM bagi menangani cabaran dalam sektor pembuatan dan pengilangan.
Beliau berkata usaha itu akan membawa manfaat bersama bukan sahaja kepada kerajaan negeri tetapi juga kepada penggiat dan pemain industri yang menjadi tulang belakang ekonomi Perak.
"Saya yakin dengan iltizam bersama antara kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan, pihak industri melalui FMM dan rakyat, Perak mampu menjadi model negeri industri moden, lestari, dan berdaya saing bukan sahaja untuk Malaysia malah sebagai rujukan rantau Asia Tenggara," katanya.
Sementara itu, Saarani berkata daripada sudut tenaga kerja, indikator pasaran buruh menunjukkan perkembangan positif apabila kadar pengangguran Perak turun kepada 3.6 peratus, manakala kadar penyertaan tenaga buruh meningkat kepada 66.56 peratus.
“Inisiatif kemahiran mula menampakkan hasil dengan purata gaji bulanan Perak meningkat kepada RM2,973 pada 2023 dan kekal dalam trend menaik,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial