KUALA TERENGGANU, 4 Sept (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon supaya kerajaan memberi perhatian serius kepada kerja-kerja naik taraf fasiliti kesihatan yang daif dalam Belanjawan 2026 akan datang.
Presidennya Datuk Dr Adnan Mat berkata pihaknya mendapati masih terdapat klinik kesihatan di luar bandar dan pedalaman dalam keadaan usang hingga menjejaskan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.
"Kami (CUEPACS) telah membuat lawatan di lapangan khususnya di klinik desa dan pedalaman. Kami dapati masih terdapat klinik berlantaikan tanah dan berdindingkan papan dalam keadaan begitu usang.
"Dalam belanjawan akan datang kami berharap kerajaan dapat lihat kemudahan yang patut disediakan kepada rakyat. Pada masa sama petugas kesihatan juga mampu memberi perkhidmatan terbaik bersesuaian dengan kemudahan tersebut," katanya pada Majlis Makan Malam Apresiasi MADANI 2025 CUEPACS Terengganu ke-10 di sini.
Selain itu, Adnan berkata CUEPACS juga merayu agar kerajaan menyegerakan lantikan tetap kira-kira 2,000 jururawat masyarakat yang telah lulus Peningkatan Secara Lantikan (PSL) untuk memenuhi keperluan mendesak sektor perubatan negara.
Beliau berkata ketika ini pekerja di sektor perubatan termasuk jururawat berdepan tekanan disebabkan bebanan tugas yang tinggi di semua tempat berikutan faktor kekurangan kakitangan.
"Kami mendapati hampir 2,000 jururawat masyarakat telah lulus PSL, tetapi belum dilantik kepada jururawat terlatih dan dinaikkan daripada gred U1 kepada U5. Kami mohon kerajaan melaksanakan secepat mungkin lantikan mereka kerana keperluan dari segi jururawat terlatih pada masa sekarang amat mendesak.
"Bagaimanapun kami juga berharap jika dinaikkan gred, mereka tidak dihantar ke Sabah atau Sarawak untuk bertugas kerana kekosongan dan keperluan masih wujud di tempat sama," katanya.
Dalam pada itu, beliau juga meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian bantuan khas kewangan atau bonus sebulan gaji kepada penjawat awam yang menjadi tunjang pentadbiran negara dalam belanjawan akan datang
Menurut beliau, pengumuman berkenaan amat dinantikan oleh semua penjawat awam memandangkan kali terakhir mereka menikmati bantuan khas kewangan sebanyak sebulan ialah pada 12 tahun lepas.
"Walaupun kita berterima kasih kerana kerajaan telah melaksanakan kenaikan gaji sebanyak lapan peratus pada Disember lepas dan tujuh peratus pada Januari tahun depan, kami masih tertunggu-tunggu bentuk bonus atau bantuan khas kewangan yang boleh diumumkan kerajaan.
"Sudah lama kami tidak mendengar perkataan pembayaran dalam bentuk sebulan atau dua bulan gaji. Kami hanya mendengar lima ratus sahaja," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial