EKONOMI

Sektor Minyak & Gas, Tenaga Kekal Penting Walaupun Peralihan Tenaga Hijau Semakin Pesat

03/09/2025 09:38 AM

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Sektor minyak dan gas (O&G) serta tenaga masih terus berperanan penting walaupun peralihan hijau menjadi semakin pesat di seluruh dunia, kata Pengerusi Informa Markets Malaysia Sdn Bhd Tan Sri Rahman Abdul Mamat.

Beliau berkata memetik Agensi Tenaga Antarabangsa, Asia Tenggara dijangka membentuk suku daripada pertumbuhan permintaan tenaga global antara masa kini hingga 2035 manakala menjelang pertengahan abad ini permintaan tenaga rantau ini akan mengatasi Kesatuan Eropah.

“Inilah rantau yang sedang mencatatkan pertumbuhan pesat, di sinilah penyelesaian perlu diperluaskan, dan ‘Oil and Gas Asia’ (OGA) 2025 adalah tempat perbincangan yang rancak dan keputusan dipercepatkan,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan di OGA 2025 di sini, Selasa.

OGA 2025, platform perniagaan tenaga utama Asia Tenggara, memulakan edisi ke-21 hari ini dengan menarik pemimpin industri, syarikat dan profesional yang ingin memanfaatkan peluang baharu dalam landskap tenaga serantau yang pesat berkembang di rantau ini.

Acara perdagangan antarabangsa dari 2 hingga 4 Sept, 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu mengangkat tema ‘Menjana Kemajuan, Membentuk Masa Depan’ ketika rantau ini sedang memperkukuh integrasi ekonomi dengan tenaga sebagai asas utama menerusi kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia.

Dalam kenyataan, Informa Markets Malaysia menjelaskan pameran tahun ini meliputi keluasan 20,000 meter persegi, menampilkan lebih 2,000 jenama dan syarikat dari 72 negara termasuk lapan pavilion antarabangsa yang mewakili United Kingdom, China, Singapura, Korea Selatan, India, Itali, Jerman dan Amerika Syarikat.

“Tahun lepas, OGA menarik lebih 36,000 pengunjung perdagangan dari 72 negara, menjana anggaran nilai US$52 juta dari segi potensi perniagaan.

“Susulan peningkatan permintaan tenaga ASEAN, OGA 2025 dijangka terus mengukuhkan peranannya sebagai platform utama rantau ini bagi kerjasama dan kemajuan,” tambahnya,

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan