JENAYAH & MAHKAMAH

Maritim Kelantan Guna Aset Udara Cari Warga Emas Hilang Di Perairan Tumpat

02/09/2025 11:24 PM

KOTA BHARU, 2 Sept (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri Kelantan memperluas operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) seorang warga emas yang hilang di perairan Tumpat sejak Ahad lepas, meliputi kawasan seluas 412.15 batu nautika persegi di perairan negeri itu.

Pengarahnya Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata operasi yang memasuki hari ketiga itu digerakkan menerusi aset laut dan udara milik Maritim Malaysia dengan kerjasama pelbagai agensi keselamatan termasuk Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam selain bantuan Royal Thai Marine Police serta nelayan tempatan.

"Mangsa, Ahmad Hussin, 71, dipercayai keluar seorang diri ke laut menaiki bot persendirian untuk memancing selepas bertolak dari Kampung Tanjung Kuala, Tumpat kira-kira 7.30 pagi, namun tidak pulang hingga kini.

“Maritim Malaysia memandang serius kejadian itu dan usaha pencarian akan terus dipergiat dengan memperluas kawasan operasi dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan dengan itu, orang ramai khususnya komuniti nelayan yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau menemukan sebarang petunjuk diminta segera menghubungi talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam atau pusat operasi Maritim Malaysia terdekat. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan