KOTA KINABALU, 2 Sept (Bernama) -- Mahkamah Tinggi hari ini mengetepikan perintah Koroner Azreena Aziz yang membenarkan peguam mewakili remaja yang didakwa berkaitan kes buli pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, untuk mengambil bahagian dalam prosiding inkues kematian pelajar itu, yang dijadualkan bermula esok.
Hakim Datuk Duncan Sikodol membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan semakan yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS) dan pasukan peguam keluarga Zara Qairina.
Mahkamah memerintahkan semua arahan yang timbul daripada sebarang permohonan dalam inkues itu diketepikan, bagaimanapun peguam berkenaan bebas mengemukakan semula permohonan mereka di hadapan Koroner baharu – Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan yang menggantikan Azreena.
SLS memfailkan semakan selepas Azreena membenarkan peguam bagi pihak remaja yang dituduh sebagai pihak berkepentingan dalam inkues berkenaan, bagaimanapun beliau menarik diri daripada mengendalikan prosiding itu.
Hakim itu berkata adalah tidak wajar Azreena membuat keputusan mengenai isu substantif yang sepatutnya diserahkan kepada Koroner baharu untuk pertimbangan, terutamanya selepas beliau memutuskan untuk menarik diri daripada kes terbabit.
"Dengan berbuat demikian seolah-olah membuat keputusan bagi pihak Koroner yang akan mengambil alih prosiding itu sekali gus menjejaskan prinsip kesaksamaan," katanya.
Prosiding hari ini dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Nahra Dollah bersama dengan Mohd Fairuz Johari dan Dacia Jane Romanus.
Tarikh inkues ditetapkan pada 3-4 Sept, 8-12 Sept, 17-19 Sept, dan 22-30 Sept.
Pada 28 Ogos, Azreena yang juga Pengarah Mahkamah Negeri Sabah menarik diri daripada mendengar kes berkenaan kerana menetap di Papar, lokasi sekolah agama Zara Qairana, walaupun beliau tidak mengenali nama-nama yang didakwa terbabit dalam kes itu.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di sini pada 17 Julai. Remaja terbabit sebelum itu dimasukkan ke hospital selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan supaya prosiding inkues dilakukan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan oleh pihak polis.
Pada 8 Ogos, AGC memaklumkan kubur Zara Qairina digali semula untuk membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan terhadap jenazah pelajar berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial