JENAYAH & MAHKAMAH

Ketua UMNO Padang Serai Lapor Polis Akaun TikTok Palsu

02/09/2025 03:28 PM

ALOR SETAR, 2 Sept (Bernama) -- Ketua UMNO Bahagian Padang Serai Datuk Asmadi Abu Talib membuat laporan polis mendakwa identitinya digunakan dalam dua akaun TikTok palsu bagi tujuan penipuan kewangan.

Timbalan Ketua Polis Kedah DCP Baderulhisham Baharudin yang mengesahkan perkara itu, berkata ahli politik tersebut membuat laporan pada 12 tengah hari semalam.

“Mangsa dimaklumkan kewujudan dua akaun TikTok menggunakan namanya, gambar dan mencipta suara penyamaran dipercayai dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) kira-kira 10.30 malam Ahad lepas.

“Dua akaun itu diwujudkan pihak tidak bertanggungjawab dengan tujuan untuk penipuan kewangan.  Kandungan yang dimuat naik juga boleh memberi persepsi salah kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baderulhisham berkata mangsa risau akaun itu digunakan untuk memperdaya orang ramai dalam urusan bantuan kewangan kerana sebagai seorang pemimpin politik, penyalahgunaan identiti itu boleh menyebabkan penipuan berlaku.

Beliau menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dengan penipuan dalam talian menjanjikan bantuan kewangan dan tidak mudah terperdaya dengan pujukan serta rayuan melalui video melibatkan ahli politik atau selebriti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan