AM

Sultan Selangor Berkenan Terima Zakat Perniagaan, Pendapatan RM64.97 Juta 

02/09/2025 08:29 PM

KLANG, 2 Sept (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan dan pendapatan berjumlah RM64.97 juta daripada 13 syarikat korporat serta seorang individu kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam satu majlis di Istana Alam Shah di sini hari ini.

Pada majlis itu, Lembaga Tabung Haji (TH) yang diwakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar mendahului senarai syarikat pembayar zakat dan menyerahkan RM28.01 juta, menjadikan penyumbang korporat terbesar kepada LZS tahun ini. 

Ia diikuti Cyberview Sdn Bhd yang menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM5.43 juta, Tenaga Nasional Berhad (RM4.57 juta), Kumpulan Gas Malaysia Berhad (RM3.5 juta) dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (RM3.42 juta).

Turut menyerahkan zakat perniagaan ialah PLUS Berhad RM2.6 juta, Kumpulan Proton (RM3.19 juta), Kumpulan DRB-HICOM (RM2.45 juta), Northport (Malaysia) Berhad (RM1.64 juta), Maybank Islamic Berhad (RM1.6 juta) dan Kumpulan Etiqa Takaful (RM1.5 juta).   

Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Edgenta Infrastructure Services Sdn Bhd turut menyerahkan zakat perniagaan masing-masing yang berjumlah RM1 juta. 

Ahli perniagaan dan tokoh korporat Datuk Kamarudin Meranun turut menunaikan zakat pendapatan berjumlah RM5.07 juta. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Khaidzir Shahari ketika ditemui berkata sumbangan besar pengeluar zakat itu memberi impak langsung kepada lebih 350,000 penerima zakat di Selangor melalui pelbagai program bantuan dan pembangunan sosioekonomi.

“Kami amat menghargai komitmen syarikat korporat dan individu yang terus menjadikan LZS sebagai saluran utama pembayaran zakat. 

“Sumbangan ini akan dimanfaatkan bagi memperkukuh agenda pembangunan asnaf sekali gus menyokong kesejahteraan masyarakat Selangor,” katanya. 

Turut hadir dalam majlis tersebut hari ini Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Salehuddin Saidin, Pengerusi LZS Tan Sri Syed Anwar Jamalullail dan Timbalan Pengerusi LZS Tan Sri Ambrin Buang. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan