SEREMBAN, 1 Sept (Bernama) -- Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 sekali beri yang diterima lima sekeluarga di sini, sedikit sebanyak meringankan beban perbelanjaan harian mereka untuk tempoh dua bulan akan datang.
Seorang graduan sebuah institusi pendidikan tinggi Norsarah Hishamuddin, 28, yang berasal dari Tampin berkata bantuan itu amat bermakna kerana dapat membantu kedua ibu bapanya membeli barangan dapur.
Norsarah, bersama dua adiknya yang berusia 25 dan 20 tahun serta ibu bapa mereka yang berkhidmat sebagai pendidik masing-masing menerima bantuan RM100, menjadikan jumlah keseluruhan RM500 untuk keluarga berkenaan.
“Saya dan adik-beradik belum bekerja, sekurang-kurangnya bantuan ini dapat tolong ibu dan ayah beli barangan keperluan harian, teruja juga apabila membuat semakan, kami tiga beradik antara penerima SARA ini. Diharapkan bantuan seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya kepada Bernama.
Norsarah juga berharap inisiatif murni seperti itu bukan sekadar bantuan dalam bentuk kewangan, tetapi menunjukkan Kerajaan MADANI benar-benar prihatin dengan kesejahteraan rakyat.
Sementara itu, tinjauan Bernama di beberapa pasar raya di Johor mendapati orang ramai mengambil peluang cuti umum untuk membeli barangan keperluan asas.
Nor Hanida Md Yasin, 45, berkata dia dan suami bercadang menebus bantuan secara berperingkat bagi menguruskan perbelanjaan bulanan dengan lebih teratur.
“Dengan RM100 itu, bolehlah saya beli gula, beras, minyak masak, sardin, susu tin dan macam-macam lagi. Walaupun tidak banyak, ia membantu kami kerana sebahagian barang asas sudah ditampung.
“Hampa sikitlah bila sistem terganggu hari ini, tetapi kami faham mungkin ramai yang menebus pada cuti umum. Jadi, kami rancang untuk datang semula pada hari biasa,” katanya yang menetap di Pulai Jaya.
Pekerja swasta S. Segar, 34, berkata dia teruja apabila pertama kali berpeluang menebus bantuan SARA untuk membeli barangan dapur dan menggunakan sepenuhnya bantuan yang diterima hari ini.
“Cadangnya nak beli beras, gula, garam dan biskut, tetapi disebabkan sistem terganggu, kami tangguh dulu. Hari ini guna duit sendiri, dan tebus bantuan SARA pada masa akan datang. Namun apa pun, terima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan dan hadiah Merdeka ini,” katanya, yang bekerja di Singapura.
Bantuan SARA berjumlah RM100 secara sekali beri mula disalurkan semalam melalui MyKad, memberi manfaat kepada 22 juta rakyat dengan peruntukan RM2 bilion.
Ia diberikan kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas tanpa mengira kategori B40, M40 atau T20, dan boleh ditebus secara tanpa tunai di pasar raya terpilih menggunakan MyKad masing-masing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial