AM

Keamanan Malaysia Amat Berharga, Perpaduan Mesti Dipertahankan

01/09/2025 12:24 PM

Oleh Nurul Haniz Izmir

PUTRAJAYA, 1 Sept (Bernama) -- Ketika cahaya matahari mula menyinari bumi Putrajaya semalam, lautan rakyat Malaysia sudah memenuhi Dataran Putrajaya, wajah mereka berseri-seri dengan rasa penuh bangga manakala Jalur Gemilang berkibar megah di langit pagi.

Udara bergema dengan irama pancaragam, sorakan tulus ikhlas murid-murid sekolah serta wajah-wajah perpaduan penuh semangat yang telah mencerminkan perjalanan negara kita.

Namun, di sebalik sambutan itu, terselit rasa hiba di hati ramai.

Nun jauh di Gaza, saudara-saudara kita menanggung kesengsaraan yang tidak mampu dibayangkan, anak-anak kecil kelaparan tanpa makanan dan ubat, suara tangisan mereka tenggelam dalam bunyi dentuman letupan ketika keluarga terpisah tanpa tempat perlindungan yang selamat, manakala maruah mereka dirampas oleh sekatan yang menafikan hak walaupun keperluan paling asas.

Dalam kita meraikan Hari Kebangsaan semalam, sebanyak 30 rakyat Malaysia berlepas ke Itali dan Tunisia untuk menyertai Flotila Sumud Global, sebuah misi kemanusiaan melibatkan 50 negara, membawa harapan jutaan insan yang mendambakan keadilan dan keamanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Datuk Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery yang mengetuai delegasi Malaysia menyifatkan misi itu sebagai ‘bersejarah’.

“Antara sukarelawan termasuk doktor, aktivis, artis dan rakyat biasa, yang bersatu demi satu tujuan. Tuntutan kami mudah: hentikan perang serta-merta dan buka koridor kemanusiaan Rafah,” katanya.

Lebih dekat dengan tanah air, rantau kita turut berdepan cabaran sendiri.

Di Indonesia, kematian tragis seorang pemandu "Gojek" muda Affan Kurniawan yang dirempuh kenderaan polis ketika demonstrasi di Jakarta, telah mencetuskan kemarahan yang meluas.

Apa yang bermula sebagai tuntutan gaji yang adil dan bermaruah, bertukar menjadi rusuhan ganas di Jakarta, Surabaya, Medan dan Papua, apabila batu bertembung dengan perisai manakala gas pemedih mata memenuhi jalanan - satu peringatan perit betapa rapuhnya keamanan apabila rakyat hilang kepercayaan.

Di Thailand, landskap politik sekali lagi bergoncang dengan ketidaktentuan selepas Mahkamah Perlembagaan memecat Paetongtarn Shinawatra daripada jawatan Perdana Menteri, meninggalkan rakyat biasa terperangkap dalam kegawatan sambil menanti penuh debaran lembaran baharu kepimpinan negara itu.

Di tanah air, Malaysia terlindung daripada pergolakan sebegini, namun kita tidak boleh lupa betapa rapuhnya keamanan sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, dengan ada pihak mungkin cuba mengambil kesempatan untuk mengeksploitasinya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perutusan Hari Kebangsaan baru-baru ini menegaskan bahawa pihak yang cuba memecah-belahkan rakyat Malaysia mesti dihalang dengan tegas.

“Perpaduan ialah asas kekuatan Malaysia. Tidak ada negara yang mampu merdeka kalau tidak ada semangat kerjasama, perpaduan dan jati diri,” katanya.

Kemerdekaan bukanlah hadiah, tetapi diperoleh melalui pengorbanan, nyawa serta keberanian orang Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak yang berdiri bersama, menjadikan setiap 31 Ogos bukan sahaja satu perayaan, tetapi juga peringatan terhadap harga yang telah dibayar dan amanah yang dipikul.

Apabila mengibarkan Jalur Gemilang, kita harus ingat ia bukan sekadar bendera. Ia adalah janji bahawa keharmonian ini akan terus dipelihara, keamanan yang dinikmati tidak akan digugat dan perpaduan akan selama-lamanya menjadi denyut nadi negara kita.

Dalam dunia yang dilukai dengan rusuhan, pergolakan dan peperangan, keamanan Malaysia bersinar lebih terang, satu nikmat yang tidak boleh diambil mudah dan oleh itu, ketika gema suara anak-anak melaungkan "Merdeka!" kedengaran di seluruh tanah air, marilah kita ingat bahawa kemerdekaan kita terletak pada perpaduan kita - Merdeka kita, merdeka bersama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan