AM

RUU Pekerja Gig Langkah Penting, Bentuk Masa Depan Sektor Pekerjaan

28/08/2025 10:40 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 yang diluluskan di Dewan Rakyat hari ini dilihat sebagai satu langkah penting yang membentuk masa depan sektor pekerjaan di Malaysia.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman dalam kenyataan berkata RUU itu menyediakan rangka kerja kawal selia jelas yang mengiktiraf status unik pekerja gig, terutamanya mereka yang terlibat dalam platform digital selain memperkenalkan perlindungan penting termasuk akses kepada keselamatan sosial, mekanisme untuk penyelesaian pertikaian dan perlindungan terhadap amalan tidak adil.

Beliau berkata RUU itu hadir pada masa yang kritikal apabila pasaran buruh Malaysia sedang mengalami transformasi pesat didorong oleh teknologi, model perniagaan baharu dan jangkaan pekerja yang berkembang.

Menurut Syed Hussain, organisasi itu menyokong penuh usaha kerajaan untuk menginstitusikan perlindungan yang adil kepada pekerja gig sambil mengekalkan fleksibiliti yang penting kepada kemampanan ekonomi gig dan pendekatan itu selaras dengan prinsip Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Beliau berkata walaupun perlindungan diperlukan, sebarang rangka kerja undang-undang baharu mesti mengelak peraturan berlebihan yang boleh menjejaskan daya maju model gig.

"Kos pematuhan yang berlebihan dan tafsiran pekerjaan yang tegar boleh menghalang perniagaan melibatkan pekerja gig dan mengurangkan peluang bagi rakyat Malaysia yang mencari pendapatan tambahan," katanya.

Selain itu katanya MEF turut menekankan bahawa fleksibiliti merupakan ciri utama pekerja gig, menawarkan kebebasan untuk pekerja memilih bila, di mana dan cara mereka bekerja, sambil membolehkan perniagaan meningkatkan perkhidmatan dengan cekap.

"Memastikan fleksibiliti ini akan menjamin ekonomi gig kekal mampan, berdaya saing dan menarik kepada pelabur tempatan dan antarabangsa," katanya.

Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan RUU Pekerja Gig 2025 yang antaranya bertujuan melindungi hak pekerja gig, mengadakan peruntukan bagi kewajipan entiti kontrak serta mengawal selia terma dan syarat perjanjian perkhidmatan yang dibuat antara entiti kontrak dengan pekerja gig.

Sementara itu, Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) turut menyambut baik RUU berkenaan yang disifatkan sebagai 'noktah' kepada segala bentuk ketidakadilan terhadap 1.2 juta pekerja gig di Malaysia.

Menurut GKMM, ia termasuk isu ketiadaan perlindungan sosial khususnya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), kadar bayaran rendah dan tidak sepadan dengan tugas, prosedur tuntutan yang rumit serta tempoh lama diambil majikan melunaskan sesuatu tuntutan pekerja gig.

“Dengan kelulusan RUU Pekerja Gig 2025 dan seiring pewartaan serta penguatkuasaannya kelak, GKMM menggesa supaya majikan yang mengambil wartawan, jurukamera serta juruvideo sambilan untuk segera mengadakan pertemuan serta perbincangan bagi meneliti keperluan untuk dimuktamadkan.

“Ia termasuk merangka satu bentuk kontrak perjanjian kerja yang lebih adil dan telus terutama bagi mendepani isu yang disebutkan di atas tadi,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan