PUTRAJAYA, 28 Ogos (Bernama) – Pengurusan rekod memerlukan fokus dan komitmen tinggi agar maklumat serta data sentiasa dikemaskini, tepat dan berkualiti.
Data yang berkualiti amat penting untuk menganalisa kejayaan, mengenalpasti pola siasatan semasa, merangka dasar jabatan dan boleh digunakan untuk pelbagai tujuan.
Pengarah Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat (BPRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), KPKPj Norkhafizin Isa berkata, bagi memperkukuhkan kesinambungan dan proses kerja, arahan-arahan dalaman SPRM yang telah dikeluarkan seharusnya dijadikan sebagai panduan serta rujukan pegawai rekod di Bahagian mahupun SPRM Negeri.
“Maklumbalas, isu-isu yang dihadapi, pandangan serta cadangan pengguna sistem dari semasa ke semasa juga diperlukan bagi tujuan penambahbaikan sistem dan prosedur di peringkat berkaitan.
“Pegawai-pegawai rekod SPRM diharapkan saling bekerjasama dan membantu satu sama lain dalam perkongsian kepakaran mahupun ilmu pengetahuan agar kerja harian menjadi lebih produktif.
“Kerahsiaan maklumat dan nilai integriti juga haruslah sentiasa dipelihara oleh pegawai dalam menguruskan maklumat dan data terperingkat,” katanya dalam ucapan pada Mesyuarat Pegawai Pengurusan Rekod (PPR) Tahun 2025 anjuran BPRM pada 22 Ogos 2025 di Cherengin Hills Convention dan Spa Resort, Janda Baik, Pahang.
Mesyuarat yang berlangsung selama tiga hari dengan kehadiran 55 pegawai PPR daripada Bahagian dan Negeri SPRM bertujuan untuk membincangkan isu serta cabaran pengurusan rekod terutamanya di peringkat Negeri SPRM serta memperkukuhkan keberkesanan penyampaian maklumat.
Beliau berkata, hasil maklumbalas dan isu yang dikemukakan daripada ahli mesyuarat akan diteliti serta diambil tindakan segera oleh pihak BPRM.
Turut diadakan Majlis Anugerah Pengurusan Rekod Operasi Terbaik Tahun 2024/2025 yang menyaksikan Bahagian Siasatan dan Bahagian Perisikan Ibu Pejabat telah diberikan Anugerah Pengurusan Rekod Operasi Terbaik Kategori Bahagian SPRM, manakala SPRM Sabah, SPRM Pahang, SPRM Sarawak, SPRM Melaka dan SPRM Johor mengungguli Anugerah Pengurusan Rekod Operasi Terbaik Kategori Negeri.
Sementara itu, Anugerah Khas juga telah diberikan kepada lima individu iaitu PKPs Kalsum Harun (SPRM Sabah), PPs Noor Shafikah Hamzah (SPRM Pahang), PPs Lavanya Rengarajoo (Bahagian Siasatan), PPs Nurul Izzati Jamal (Bahagian Perisikan) dan PKPs Nor Asikin Ramly (Bahagian Pendakwaan).
Anugerah Khas ini diberikan atas komitmen cemerlang yang berjaya ditunjukkan dalam pelaksanaan tugas sebagai PPR sepanjang 2024 dan 2025.
— BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial