KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- KPJ Healthcare Bhd (KPJ Healthcare) dan LAC Medical Supplies Sdn Bhd (LAC Medical Supplies) memeterai kerjasama strategik untuk melaksanakan Enterprise Picture Archiving and Communication System (PACS) merentasi 30 rangkaian hospital di seluruh negara.
KPJ Healthcare dalam kenyataan hari ini memaklumkan sistem PACS baharu daripada Philips, yang dibekalkan dan dilaksanakan oleh LAC Medical Supplies, akan menghubungkan hospital KPJ pada satu platform pengimejan yang direka untuk menyokong akses selamat.
Penyelesaian itu akan membolehkan kerjasama antara doktor, untuk menyokong kecekapan diagnostik dan integrasi dengan aplikasi pesakit KPJ Cares, memberikan kemudahan kepada pesakit untuk mengakses kepada keputusan pengimejan perubatan mereka dengan lebih selamat.
"Projek ini berdasarkan model dipacu hasil yang menyelaraskan pelaburan teknologi kepada keputusan klinikal dan operasi yang boleh diukur sambil mempercepat penggunaan penyelesaian penjagaan kesihatan termaju di seluruh rangkaian hospital KPJ," menurut kenyataan itu.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan berkata inisiatif itu menandakan satu peristiwa penting dalam perjalanan transformasi KPJ Health System yang mengukuhkan langkah ke arah model penjagaan yang lebih berhubung dan berpusatkan pesakit.
"Dengan menghubungkan pengimejan perubatan di semua 30 hospital dan dipautkan pada aplikasi KPJ Cares, kami meningkatkan akses pesakit dan menyokong pelaburan yang lebih cekap.
"Pelaburan ini bukan sahaja dalam teknologi, tetapi dalam kualiti, keselamatan dan pengalaman penjagaan yang kami berikan kepada pesakit dan komuniti kami," katanya dalam kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif LAC Medical Supplies Liew Yoon Poh pula berkata syarikat itu berbangga dapat menyokong program pengimejan perusahaan KPJ sebagai sebahagian daripada perjalanan transformasi digital hospital berkenaan.
"Pendekatan berasaskan langganan ini direka untuk menyampaikan nilai yang dapat diukur dari segi kecekapan klinikal, pengalaman pesakit dan prestasi operasi," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Inovasi dan Ketua Pemimpin Perniagaan Philips, Dr Shez Partovi berkata platform itu membolehkan akses imej masa nyata merentas perusahaan, menyokong diagnostik yang didayakan kecerdasan buatan (AI) dan memperkemas aliran kerja radiologi, membantu doktor membuat keputusan yang yakin dan meningkatkan hasil pesakit.
Majlis menandatangani perjanjian itu diadakan di Menara KPJ, di sini hari ini, menandakan satu peristiwa penting dalam transformasi digital KPJ Healthcare di bawah KPJ Health System dengan pelaksanaan penuh disasarkan dalam tempoh 24 bulan.
Menurut KPJ Healthcare, perkongsian itu juga mencerminkan komitmennya terhadap inovasi berterusan di bawah KPJ Health System dengan penjagaan klinikal, pendidikan dan penyelidikan disatukan untuk memajukan hasil dan mengukuhkan landskap penjagaan kesihatan swasta di Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial