EKONOMI

Malaysia Berhasrat Adakan Sidang Kemuncak RCEP Pada Oktober - PM Anwar

27/08/2025 07:16 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia sebagai pengerusi ASEAN berhasrat untuk mengadakan sidang kemuncak negara-negara anggota Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang terdiri daripada pelbagai ekonomi utama Asia di sini pada Oktober.

Beliau berkata matlamatnya untuk membuktikan bahawa Asia, sebagai benua ekonomi utama masih mampu menerajui agenda keterbukaan walaupun negara lain berpendirian sebaliknya dalam arena ekonomi global.

“RCEP kekal sebagai satu daripada beberapa kumpulan yang negara-negara pesaing duduk bersama dalam dialog,” kata beliau dalam ucapan khas pada Meja Bulat Kuala Lumpur mengenai Kerjasama Serantau Asia Pasifik bagi Forum Boao untuk Asia di sini hari ini.

Anwar berkata sidang kemuncak RCEP akan membolehkan 15 negara anggota, yang termasuk 10 negara ASEAN serta Australia, kuasa besar ekonomi China, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand menilai semula dan memacu pelaksanaan dasar perdagangan bebas dan terbuka.

Menegaskan bahawa RCEP kekal sebagai kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia, meliputi 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global, beliau berkata kumpulan ini “tidak seharusnya kekal sebagai dokumen undang-undang di atas kertas, sebaliknya perlu diperbaharui dengan iltizam politik.”

Sehubungan itu, Anwar menggesa negara-negara Asia berusaha ke arah sebuah rantau yang lebih bersepadu dengan menyelaras dasar dan pelaburan dalam daya tahan bersama untuk mendepani gangguan daripada ekonomi terbesar dunia.

Beliau membuat gesaan tersebut dalam keadaan sistem perdagangan global berada dalam kesukaran, dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) hampir lumpuh berikutan Amerika Syarikat terus mengenakan tarif yang membebankan ke atas rakan dagang.

Perdana Menteri mengingatkan bahawa ekonomi terbesar dunia bukan lagi penjaga kepada sistem sedia ada sebaliknya, menjadi pihak yang mengganggu.

“Tarif berubah secara mendadak. Kawalan eksport dikenakan dan ditarik balik tanpa amaran yang jelas. Sekatan kewangan dikenakan sehingga melangkaui sasaran asalnya. Apa yang dahulunya merupakan sistem yang saling memberi keuntungan kini menjadi jaringan kelemahan,” kata Anwar.

Bagi negara-negara di Asia untuk bersatu, mereka boleh mencontohi ASEAN, yang menawarkan model berasaskan keterbukaan, inklusif dan keserantauan yang tidak eksklusif,” kata Anwar, yang akan mempengerusikan sidang kemuncak kumpulan itu bersama rakan dialog, termasuk beberapa kuasa besar ekonomi pada Oktober.

Sebagai pengerusi ASEAN pada tahun ini, beliau berkata Malaysia bertekad untuk mengekalkan kepusatan itu, bukan sebagai retorik tetapi sebagai amalan.

“Ia memerlukan pemerkasaan struktur kerjasama serantau,” kata beliau, merujuk kepada negara-negara Asia yang merangkumi kuasa besar China dan pelbagai ekonomi utama yang sama-sama merealisasikan apa yang beliau gambarkan sebagai “abad Asia.”

“Jika abad Asia ingin direalisasikan, ia memerlukan usaha yang dirancang, termasuklah perpaduan sebagai satu rantau, penyelarasan dasar dan pelaburan dalam daya tahan bersama,” kata beliau.

Bagaimanapun, beliau berkata walaupun dinamik Asia jelas, kelas pertengahan meningkat, ekonomi digital berkembang dan jumlah perdagangan kekal berdaya tahan, “pemisahan adalah nyata.”

Beliau berkata cabaran demografi di Asia Timur Laut, persaingan yang belum selesai di seluruh rantau dan risiko pengasingan memberi impak kepada benua ini untuk lebih bersatu.

Tahun ini, Anwar berkata ASEAN dan China memuktamadkan rundingan bagi Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0, yang akan dibentangkan kepada pemimpin pada Oktober.

Ia kini merangkumi ekonomi digital, pertumbuhan hijau, kesalinghubungan rantaian bekalan, piawaian teknikal dan sokongan untuk perusahaan kecil dan sederhana.

Beliau berkata ia ‘mencerminkan realiti baharu masa kini, apabila kemakmuran hari ini dibentuk bukan sahaja oleh perdagangan yang saksama malah oleh aliran data, platform digital dan peralihan tenaga yang mampan.’

“Bagi ASEAN, FTA ini menunjukkan bahawa kerjasama dengan China boleh berasaskan peraturan, inklusif dan berorientasikan masa depan. Pada masa yang sama, kita tidak boleh mengabaikan struktur kerjasama yang lebih luas di Asia Pasifik,” kata beliau.

Antara cabaran bagi Asia ialah ujian kebergantungan negara dan yang akan paling ketara dalam bidang teknologi.

Kecerdasan buatan, automasi dan pendigitalan sedang membentuk semula dunia dengan sangat cepat, kata Anwar.

Beliau berkata gangguan ini dan memanipulasi perdagangan dilihat sebagai era baharu geoekonomi apabila perdagangan, kewangan, teknologi dan keselamatan tidak lagi berada di landasan berasingan tetapi menjadi titik persaingan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan