AM

Sarawak Peruntuk RM10 Bilion Laksana Sistem Perpaipan, Loji Rawatan Air

26/08/2025 07:17 PM

KUCHING, 26 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Sarawak memperuntukkan kira-kira RM10 bilion bagi melaksanakan sistem perpaipan dan loji rawatan air di seluruh negeri, sebagai sebahagian daripada usaha menyediakan bekalan air bersih dan mampan kepada rakyat serta menyokong keperluan pelabur asing.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata peruntukan itu meliputi kerja-kerja penggantian paip lama yang uzur, pembangunan dan penaiktarafan loji rawatan air serta pelaksanaan sistem grid air di negeri berkenaan.

“Kami menyasarkan semua projek ini siap sepenuhnya menjelang 2030. Peruntukan itu akan disalurkan secara berperingkat, dengan keutamaan diberikan kepada kawasan berpenduduk padat serta kawasan pedalaman yang sebelum ini menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan air bersih,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Sarawak Water Sdn Bhd di sini hari ini.

Abang Johari berkata selain bekalan air, kerajaan negeri turut memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur strategik lain seperti lebuh raya pesisir, jalan penghubung ke kawasan luar bandar dan rangkaian lebuh raya utama yang menyambungkan seluruh Sarawak menjelang 2030.

Beliau optimis Sarawak akan mencapai liputan bekalan air sepenuhnya menjelang tahun itu, sekali gus melonjakkan kemajuan negeri dengan prasarana yang lengkap, moden dan mesra pelabur.

Sementara itu, semasa berucap pada majlis pelancaran berkenaan, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi berkata penubuhan Sarawak Water Sdn Bhd sebagai entiti tunggal bertujuan memperkukuh sistem pengurusan air negeri secara lebih berkesan.

Pada tahun lepas kerajaan negeri telah meluluskan penubuhan syarikat perkhidmatan bekalan air di bawah Akta Syarikat 2016, yang menggabungkan tiga agensi utama iaitu Lembaga Air Kuching, Lembaga Air Sibu dan Lembaga Air Kawasan Utara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan