IPOH, 26 Ogos (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Simposium Akademik Bersama Universiti Malaya (UM)-Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) Kali Ke-2 Tahun 2025: Perubatan Presisi di sini hari ini.
Turut hadir Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam yang juga Canselor NUS, Naib Canselor UM Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman serta Presiden NUS Prof Tan Eng Chye.
Simposium berkenaan yang diadakan sempena Kejohanan Golf Tunku Canselor UM-NUS Kali Ke-54 merupakan sebahagian daripada siri acara memperingati lebih 60 tahun jalinan kerjasama antara kedua-dua universiti.
Simposium akademik bersama kedua-dua universiti itu pada tahun lepas telah diadakan di NUS dengan menumpukan kepada kejuruteraan bioperubatan.
Simposium perubatan presisi tahun ini meliputi 10 ucaptama dan ceramah teknikal daripada sarjana dan pakar klinikal terkemuka dari kedua-dua universiti, serta pembentangan khas yang mengangkat sejarah kerjasama antara Singapura dan Malaysia.
Sultan Nazrin turut berangkat ke majlis santapan tengah hari penyampaian hadiah kejohanan golf serta menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Terdahulu, pada pagi tadi lebih 100 pemain golf NUS dan UM mengambil bahagian dalam kejohanan terbabit.
Semalam, Sultan Nazrin, yang juga Canselor UM menerima menghadap Tharman dan delegasi NUS di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim turut meraikan Tharman dan delegasi pada majlis santapan malam di istana berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial