AM

TUDM Lakukan Penilaian Menyeluruh Sebelum Muktamad Perolehan Jet Kuwait - PTU

26/08/2025 05:01 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melakukan penilaian menyeluruh sebelum memuktamadkan perolehan pesawat pejuang F/A-18 Legacy Hornet dari Kuwait, kata Panglima Tentera Udara Jen Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.

Beliau berkata penilaian itu antara lain meliputi aspek tarikh penyerahan dan kos perolehan serta penyelenggaraan bagi membolehkan TUDM terus mengoperasikan pesawat itu pada masa hadapan.

“Sebenarnya kita belum buat keputusan untuk beli pun lagi (pesawat itu). 

“TUDM sedang menunggu untuk mendapatkan tarikh bagi penghantaran satu pasukan ke Kuwait bagi menjalankan penilaian teknikal terhadap 38 pesawat pejuang berkenaan yang dijadualkan pada September ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Media sebelum ini melaporkan penilaian perolehan pesawat itu dilaksanakan oleh Malaysia susulan kelulusan rasmi daripada Amerika Syarikat selaku negara pengeluar pesawat.

Bagaimanapun sebuah portal berita pada semalam melaporkan rundingan perolehan pesawat pejuang itu berakhir dengan alasan proses membuat keputusan mengenainya adalah kompleks.

Mohamed Khaled semasa mengadakan lawatan ke Kuwait pada 7 Okt tahun lepas telah mengadakan perbincangan dengan kepimpinan negara itu untuk memperoleh pesawat F/A-18 Legacy Hornet milik Tentera Udara Kuwait (KAF) bagi kegunaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kuwait dilaporkan telah memberikan jawapan positif tentang perkara itu dan kedua-dua negara bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas melibatkan pegawai tentera antara kedua-dua negara untuk memulakan perbincangan serta rundingan bagi memastikan prasyarat dipenuhi seterusnya membolehkan proses pembelian jet berkenaan dilakukan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan