KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 230 individu telah menerima sumbangan menerusi Tabung Kasih@HAWANA pada tahun ini dengan jumlah keseluruhan mencecah RM698,000, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Beliau berkata pada tahun lepas, sebanyak 229 individu telah mendapat manfaat daripada tabung berkenaan dengan jumlah sumbangan sebanyak RM648,000.
"Sejak dilancarkan pada sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023, sebanyak RM1.39 juta telah disalurkan menerusi tabung itu kepada 487 pengamal media di seluruh negara dan sempena Bulan Kebangsaan.
"Sempena Bulan Kebangsaan tahun ini, sebanyak 18 individu telah menerima bantuan daripada tabung ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada Bekas Penolong Pengarang Berita Harakah Muhammad Azamin Muhammad Amin di kediamannya di Bukit Sentosa, Rawang dekat sini hari ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu Pang Sock Tao, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin serta Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Muhammad Azamin, 50, menerima sumbangan Tabung Kasih @HAWANA berbentuk wang tunai dan komputer riba, selain tiga cermin mata baharu untuk beliau, isteri dan anaknya yang ditaja oleh Pang.
Bekas wartawan yang telah berkhidmat hampir 20 tahun dalam bidang kewartawanan termasuk di Harakah, Warta dan SelangorKini itu menghidap penyakit kencing manis yang memerlukan rawatan insulin berterusan untuk mengekalkan tahap kesihatannya.
Teo turut menyatakan komitmennya untuk membantu Muhammad Azamin dalam menyelesaikan isu berkaitan perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang belum diterima ekoran pemberhentian kerjanya akibat penyakit terbabit.
Sementara itu, Muhammad Azamin yang memiliki enam anak dan isterinya seorang suri rumah menyatakan rasa terharu kerana masalah yang dihadapinya mendapat perhatian yang sangat pantas oleh kerajaan MADANI.
“Saya agak terkejut dengan responsif pihak kerajaan, pagi saya e-mel surat, tidak sampai 24 jam sudah ada maklum balas. Saya tidak meletakkan harapan tinggi kerana tahu saya pernah bekerja di Harakah, akhbar yang dikenal lantang mengkritik kerajaan.
“Namun kerajaan MADANI sangat prihatin dan ambil peduli tanpa mengira latar belakang politik dan latar belakang kaum serta menumpukan kepada isu kebajikan bekas pengamal media,” katanya.
Beliau berkhidmat di Harakah sejak 2005 sebelum didiagnos menghidap kencing manis pada 2020 dan kemudiannya selama setahun bekerja dari rumah sebelum diberhentikan kerja pada 2021 kerana keterbatasannya untuk bekerja secara normal.
Beliau kini membuat kerja sambilan dengan menghasilkan buku, membuat suntingan dan mengajar mengaji secara dalam talian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial